PERSELISIHAN dalam pembahagian harta pusaka sering kali berlaku dalam masyarakat hingga ada yang ‘berparang’ dan putus silaturahim kerana tidak berpuas hati dengan pembahagiannya.
Apa yang lebih menyedihkan lagi jika ia melibatkan anak-anak yatim. Sudahlah terputus kasih sayang seorang ayah, malah harta yang ditinggalkan juga dituntut oleh adik-beradik si mati.
“Sudah kering air mata untuk bersedih dan mengenang kembali pengalaman duka yang menimpa kami enam beranak ini.
“Selepas kematian suami dan ibu suami setahun selepas itu, ipar-duai mula menuntut hak mereka ke atas tanah yang diduduki kami sekeluarga dengan alasan tanah tersebut merupakan harta pusaka ibu mereka,” cerita ibu tunggal, Hasnah Hassan, 64, kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.
Mengimbas kembali kisah itu pada awalnya, dia dan suami membina rumah atas tanah ibu mentuanya itu atas persetujuan dan keizinannya.
“Sebelum ibu mentua meninggal dunia, dia sempat berpesan tidak perlu keluar dari rumah ini dan teruslah menetap di atas tanah tersebut kerana tanah ini dia berikan kepada anak-anak saya iaitu cucu-cucunya.

SEPATUTNYA pemberian hibah atau wasiat harta dilakukan di hadapan saksi atau ada hitam putihnya agar tidak berlaku pertikaian kelak. Foto Canva
“Bagaimanapun, pesan tersebut hanya disampaikan secara lisan dan tiada hitam putih mahupun saksi yang boleh mengesahkannya,” ujarnya.
Tiada pengetahuan pengurusan harta
Ceritanya, sebagai orang kampung yang tidak berpendidikan tinggi, dia tidak tahu bahawa pesanan ibu mentuanya itu boleh dibawa ke Mahkamah Syariah untuk disahkan statusnya sama ada ia wasiat atau hibah.
“Saya hanya mampu menurut sahaja kemahuan ipar-duai yang mahukan tanah tersebut, lebih-lebih lagi status saya sebagai ‘orang luar’ dalam keluarga mereka.
“Apa yang boleh saya lakukan hanyalah merayu kepada ipar-duai agar membenarkan kami terus menetap di atas tanah tersebut memandangkan anak-anak masih kecil ketika itu dan masih bersekolah,” katanya.
Hari demi hari, beliau yang hanya bekerja kampung sebagai pengasuh bayi itu hanya fokus untuk membesarkan anak-anak selepas kehilangan tonggak pencarian nafkah keluarga.
“Kerja di kampung berapa sangat pendapatannya. Kadang-kadang terpaksa bergolok-bergadai untuk mencukupi keperluan anak-anak.
“Setiap hari, lauk kami hanyalah ‘ikan-ikan rakyat’ seperti sardin dan kembung. Biarlah tak mewah, asalkan kami cukup makan dan anak-anak dapat belajar dengan baik,” ceritanya lagi.
Penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat itu juga kadangkala mendapat bantuan zakat daripada majlis agama negeri dan masjid berhampiran.
Terpaksa lepaskan rumah
Detik hitam terpaksa meninggalkan rumah yang dibina bersama suami itu akhirnya tiba jua selepas anak bongsunya itu selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia.

SERINGKALI berlaku perselisihan antara waris berkaitan dengan harta pusaka dalam masyarakat hari ini. Foto Canva
Bermulalah episod Hasnah tinggal di rumah anak-anak yang sudah bekerja di ibu kota. Bagaimanapun, jiwanya tetap terkenang akan rumah dan suasana kampung.
“Tinggal di rumah sendiri dan di rumah anak tidak sama. Lebih-lebih lagi apabila anak sudah berkeluarga. Namun tiada pilihan lain ketika itu.
“Sehinggalah kawan-kawan memberitahu mengenai pondok pengajian orang-orang tua di sebuah daerah di Kelantan. Saya akhirnya bersetuju tinggal di sana di samping dapat memberi tumpuan kepada ibadah dan bekalan akhirat,” jelasnya.
Walaupun sedih terpaksa meninggalkan rumah tersebut, beliau tetap bersyukur dapat membesarkan anak-anak hingga kesemua mereka beroleh ijazah sarjana muda di universiti terkemuka tempatan.
“Alhamdulillah kami bersyukur dibenarkan berteduh walau bukan di atas tanah sendiri.
“Terima kasih juga kepada ahli keluarga dan masyarakat setempat yang sudi membantu sepanjang tempoh membesarkan anak-anak,” katanya.

HASNAH tidak mahu lagi mengenangkan ‘ujian’ menimpa keluarganya dan hanya fokus untuk beribadah pada penghujung usia. Gambar hiasan/Foto Canva
Hasnah turut berpesan agar melakukan tindakan yang betul dan mengikut undang-undang terutamanya melibatkan aset berharga seperti tanah atau rumah, agar tidak menyesal pada kemudian hari.
Selain itu nasihatnya, ahli keluarga dan waris si mati juga perlu melaksanakan tanggungjawab dan jangan membiarkan keperluan anak-anak yatim terabai.
Walaupun kisah ini berlaku lebih 20 tahun yang lalu, namun ingatan terhadap rumah yang dibina bersama suami dan tempat membesar anak-anaknya itu tetap segar dalam ingatan.
“Saya anggap ini ujian untuk kami sekeluarga. Hidup ini hanyalah sementara sebelum dijemput Ilahi,” ucapnya tersenyum sebelum menutup kalam.