London: Jamie Vardy bakal mengakhiri perjalanan luar biasa selama 13 tahun bersama Leicester City hujung musim ini, sekali gus menamatkan era keemasan yang menyaksikannya menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA, serta dikenang sebagai pemain terhebat dalam sejarah kelab.
Penyerang berusia 38 tahun itu mengesahkan hasratnya untuk terus bermain musim depan walaupun Leicester kini sah tersingkir ke Liga Kejuaraan selepas hanya semusim kembali ke saingan utama.
“Jamie adalah unik. Seorang pemain luar biasa dan insan yang lebih luar biasa,” kata Pengerusi Leicester, Aiyawatt Srivaddhanaprabha.
“Dia akan kekal sebagai ikon sepanjang zaman di Stadium King Power.”
Vardy menyertai Leicester pada 2012 dari kelab kerdil Fleetwood Town dengan yuran hanya £1 juta (RM5.82 juta), dan menjaringkan 198 gol dalam hampir 500 penampilan – termasuk 143 gol dalam EPL, menjadikannya penjaring terbanyak kelab dalam era berkenaan
Namun yang paling dikenang sudah pasti musim 2015/16 – apabila Vardy meledak 24 gol untuk membantu skuad kendalian Claudio Ranieri mencipta sejarah menjulang trofi EPL dengan nisbah ganjaran pertaruhan 5,000-1.
Dia juga memainkan peranan penting dalam kejayaan menjulang Piala FA pada 2021 dan membawa Leicester mara ke suku akhir Liga Juara-Juara pada 2017.
Dalam video menyentuh hati yang dikongsikan kepada peminat, Vardy meluahkan perasaan sedihnya: “Saya hancur apabila memikirkan hari ini bakal tiba, tapi saya tahu ia tidak dapat dielakkan,” kata Vardy.
“Saya sudah melalui 13 tahun yang menakjubkan – dengan banyak kejayaan dan juga jatuh bangun, tapi kebanyakannya adalah detik-detik indah.”
Namun dia juga tidak menyembunyikan kekecewaan terhadap musim suram Leicester yang menyaksikan mereka jatuh ke tangga ke-19 selepas hanya meraih 18 mata daripada 33 perlawanan.
“Musim ini adalah satu penderitaan – dan bagi saya secara peribadi, satu kehinaan,” katanya.
Pengurus Leicester, Ruud van Nistelrooy, mendedahkan mereka mengadakan perbincangan panjang mengenai keputusan berkenaan.
“Dia datang ke pejabat saya dan beritahu keputusannya. Kami berbual hampir sejam – dari hati ke hati, antara penyerang lama dan penyerang yang masih bermain, dari pengurus kepada pemain,” katanya.
“Apa yang paling saya rasai ialah cintanya terhadap kelab ini – ia jelas dalam setiap patah perkataannya.”
Daripada bermain di divisyen kelima kepada menjulang kejuaraan paling berprestij di England, kisah Vardy adalah sebuah cerita dongeng moden bola sepak yang akan terus dikenang.
Dia juga merupakan satu-satunya pemain yang masih kekal daripada skuad juara EPL 2016.
“Saya cuma ada satu penyesalan – saya tak dapat ucap selamat tinggal kepada kamu semua selepas musim yang lebih baik,” katanya.
“Tapi ini bukan persaraan. Saya masih mahu bermain dan terus melakukan apa yang saya paling suka – menjaringkan gol.”
Leicester akan menentang Wolves hujung minggu ini, dengan lima lagi perlawanan sebelum penutup tirai musim yang penuh emosi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




