Iran akan saman berhubung serangan AS-Israel terhadap tapak purba Isfahan

Iran akan saman berhubung serangan AS-Israel terhadap tapak purba Isfahan
Iran akan saman berhubung serangan AS-Israel terhadap tapak purba Isfahan

Gabenor Wilayah Isfahan berkata, sepasukan pakar undang-undang akan memfailkan aduan kepada organisasi antarabangsa berhubung kerosakan yang dialami oleh beberapa tapak bersejarah di wilayah itu.

ISFAHAN – Gabenor Wilayah Isfahan berkata, sepasukan pakar undang-undang akan memfailkan aduan kepada organisasi antarabangsa berhubung kerosakan yang dialami oleh beberapa tapak bersejarah di wilayah itu semasa serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Bercakap sempena ‘Hari Monumen dan Tapak Antarabangsa’, Mehdi Jamali Nejad mengulangi kepentingan memelihara bangunan bersejarah dan tapak purba.

“Warisan budaya adalah tonggak masa depan yang mampan. Malangnya, semasa perang dan serangan musuh ke atas bandar bersejarah ini, kira-kira 203 lokasi dalam Grand Bazaar serta 28 monumen bersejarah mengalami kerosakan dan memerlukan pemulihan.

“Kami telah memulakan proses pemulihan dan berhasrat untuk menyiapkan pembinaan semula tapak ini dalam baki dua tahun pentadbiran semasa,” jelas beliau.

Beliau berkata, pasukan undang-undang telah dilantik dan satu kes telah disediakan untuk aduan tersebut.

“Pakar telah meluangkan masa beberapa hari di Isfahan, dan kami telah mengumpulkan serta menyerahkan dokumentasi yang diperlukan. Prosiding undang-undang ini sedang berjalan, dan kami berharap dapat mencapai keputusan yang memihak kepada kami,” katanya. – Bernama-IRNA

Scroll to Top