Baitulmaqdis: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mendakwa Iran cuba membunuh salah seorang daripada dua anak lelakinya.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan anaknya yang mana menjadi sasaran atau memberikan butiran lanjut mengenai kejadian itu.
“Sesuatu yang luar biasa berlaku: Iran menyasarkan salah seorang anak saya. Iran cuba membunuh salah seorang anak saya,” katanya dalam wawancara telefon dengan Channel 14 Israel.
Dakwaan itu dibuat ketika Netanyahu mengulas laporan bahawa agensi keselamatan dalam negeri Israel, Shin Bet, enggan menyediakan kawalan keselamatan kepada bekas Ketua Tentera Israel, Gadi Eisenkot.
Eisenkot kini bersaing sengit dengan Netanyahu menjelang pilihan raya pada 27 Oktober depan.
Netanyahu berkata, Eisenkot perlu diberikan kawalan keselamatan sepanjang masa dan menegaskan ia “bukan satu kemewahan”.
“Tanpa kawalan itu, (rakyat Iran) akan berjaya,” katanya.
Netanyahu mempunyai dua anak lelaki dan seorang anak perempuan, namun tidak dapat dipastikan anak lelaki mana yang didakwa menjadi sasaran.
Anak sulungnya, Yair, 35, dilaporkan banyak menghabiskan masa di Miami sejak awal 2024 dan menerima kawalan keselamatan daripada Shin Bet.
Kehadiran Yair di Amerika Syarikat (AS) mencetuskan kontroversi di Israel berikutan kos kawalan keselamatan yang ditanggung pembayar cukai.
Sebahagian penduduk di selatan Florida turut bimbang kehadirannya boleh menyebabkan kawasan itu menjadi sasaran serangan musuh Israel.
Tidak lama selepas kenyataan Netanyahu itu, wartawan Israel, Amit Segal, berkata cubaan pembunuhan berkenaan sudah diketahui “selama berbulan-bulan”, tetapi berita mengenainya dilarang didedahkan kepada umum.
Israel membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, dalam serangan bersama AS-Israel pada 28 Februari lalu.
Beberapa anggota keluarganya turut terbunuh.
Seminggu kemudian, anaknya, Mojtaba Khamenei, dilantik sebagai Pemimpin Tertinggi Iran baharu.
Dalam mesej yang disiarkan televisyen kerajaan Iran, Mojtaba berkata, selain bapanya, beliau turut kehilangan isteri, kakak, anak saudara dan abang iparnya.
Mojtaba tidak pernah muncul di khalayak ramai sejak dilantik dan dilaporkan cedera dalam serangan yang turut membunuh bapanya.
Dalam satu lagi mesej sempena upacara pengebumian bapanya, Mojtaba berikrar untuk “membalas darah” Ali Khamenei.
© New Straits Times Press (M) Bhd

