Guru KAFA dilapor hilang sejak Sabtu lalu

am@hmetro.com.my​

Bayan Lepas: Polis sedang mengesan guru lelaki Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu, selepas keluar dari rumahnya di sebuah pangsapuri di Sungai Ara di sini, bagi ke surau.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, maklumat berhubung kehilangan Mohamad Hijazi Zamri, 26, itu dilaporkan bapanya, sehari selepas dia tidak pulang ke rumah.

“Hasil siasatan mendapati sebelum itu, lelaki berkenaan meminta izin ibunya bagi ke Surau Al-Muttaqin di Lilitan Sungai Ara, dengan menaiki motosikal Yamaha LC135 berwarna biru bernombor pendaftaran PQG 275.

“Namun lelaki itu tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Mengulas lanjut Anuwal berkata, Mohamad Hijazi berketinggian 155 sentimeter (sm) dengan berat 54 kilogram (kg), selain berkulit sawo matang dan rambut berwarna hitam.

“Kali terakhir dia dilihat memakai baju-T lengan panjang berwarna oren dan seluar panjang berwarna hitam.

“Susulan itu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaannya diminta hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di talian 04-8662222 atau ke balai polis berhampiran,” katanya lagi.

t

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top