TEHERAN – Iran mendakwa percubaan Amerika Syarikat (AS) untuk menggerakkan dua kapal pemusnah melalui Selat Hormuz berakhir dengan kegagalan, malah hampir mencetuskan insiden ketenteraan serius.
Menurut laporan eksklusif media Iran, Press TV, operasi itu didakwa sebagai satu ‘gimik propaganda’ yang berisiko tinggi dan hampir membawa kepada kemusnahan kapal tentera AS.
Laporan itu mendakwa dua kapal pemusnah Tentera Laut AS, USS Michael Murphy (DDG-112) dan USS Frank E. Peterson (DDG-121), cuba memasuki laluan strategik tersebut, namun dihalang oleh pasukan tentera laut Iran.
Menurut laporan berkenaan, kapal-kapal tersebut dikatakan dikesan oleh radar peluru berpandu kruis Iran sebaik menghampiri Teluk Parsi, sebelum diberi amaran untuk berundur dalam tempoh 30 minit.
Malah, dron milik Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) turut dilaporkan diterbangkan di ruang udara berhampiran kedua-dua kapal berkenaan.
Laporan itu turut mendakwa kapal pemusnah AS berada hanya beberapa minit daripada menjadi sasaran serangan sekiranya gagal mematuhi arahan.
Siasatan tersebut turut mendakwa kapal AS cuba menggunakan taktik peperangan elektronik termasuk mematikan sistem pengesanan kedudukan serta menyamar sebagai kapal komersial milik Oman.
Selain itu, laluan yang dipilih juga dikatakan hampir dengan pesisir pantai dan melalui kawasan perairan cetek bagi mengelak dikesan, dengan harapan pihak Iran leka semasa tempoh gencatan senjata.
Bagaimanapun, pasukan laut IRGC dilaporkan berjaya mengesan pergerakan tersebut lebih awal ketika rondaan berhampiran Fujairah sebelum mengambil tindakan pantas.
Laporan itu turut mendakwa operasi berkenaan bertujuan menguji kesiapsiagaan tentera laut Iran serta memberi tekanan kepada rundingan antara Iran dan AS yang berlangsung di Islamabad, Pakistan.
Rundingan tersebut, yang berlangsung selama 21 jam, dilaporkan berakhir tanpa sebarang kemajuan.
Menurut Press TV, operasi berisiko tinggi itu bukan sahaja gagal mencapai matlamat ketenteraan, malah tidak memberi kesan terhadap rundingan diplomatik.
Sementara itu, jurucakap Markas Pusat Khatam al-Anbiya menolak dakwaan United States Central Command (CENTCOM) berhubung kejayaan kapal perang AS melalui Selat Hormuz.
Pegawai berkenaan, Ebrahim Zolfaqari, menegaskan bahawa sebarang laluan kapal di kawasan strategik itu tertakluk sepenuhnya kepada kebenaran angkatan tentera Iran.
Dalam kenyataan berasingan, tentera laut IRGC turut memberi amaran bahawa sebarang cubaan kapal tentera AS untuk melalui Selat Hormuz akan berdepan tindakan tegas.
Ketegangan di laluan strategik itu terus meningkat ketika konflik di Asia Barat masih belum menunjukkan tanda-tanda reda. – Agensi



