Iran dituduh sasar kapal minyak UAE di Selat Hormuz

Iran dituduh sasar kapal minyak UAE di Selat Hormuz

DUBAI: Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Sabtu menuduh Iran menyasarkan sebuah kapal tangki milik syarikat minyak kerajaan negara itu di Selat Hormuz.

Ia berlaku ketika Iran dan Oman pada masa sama menyatakan rundingan mengenai pengurusan laluan perairan penting itu menunjukkan perkembangan positif.

Iran telah mengenakan sekatan berkesan ke atas Selat Hormuz dan mahu mengenakan bayaran kepada kapal yang melaluinya.

Teheran juga berulang kali menyerang kapal yang didakwa cuba mengelak daripada menggunakan laluan yang ditetapkannya.

Amerika Syarikat (AS) dengan tegas menentang sebarang bayaran tol yang dikenakan Iran di selat berkenaan. 

Bagaimanapun, perjanjian yang dicapai pihak bertelagah pada Jun membenarkan Teheran merangka aturan bagi pentadbiran masa depan Selat Hormuz bersama Oman, yang turut merupakan negara pesisir selat itu.

Serangan berterusan di selat berkenaan, yang sebelum perang bebas digunakan oleh kapal-kapal, menyebabkan gencatan senjata pada April runtuh. 

Sejak itu, para pengantara menggesa kedua-dua pihak kembali mematuhi terma memorandum yang dipersetujui pada Jun.

Pada Sabtu, Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) berkata, sebuah kapal telah terkena objek yang dilancarkan dari luar pesisir Oman di Selat Hormuz, menyebabkan kebakaran yang berjaya dipadamkan tanpa sebarang kematian atau kecederaan. 

Tidak jelas sama ada laporan itu merujuk kepada kapal yang sama.

Pada Jumaat, ADNOC mengeluarkan kenyataan bahawa sejak bermulanya perang, 15 kapal miliknya telah diserang di Selat Hormuz, termasuk tiga kapal pada minggu ini sahaja.

Kementerian Luar Oman pada Sabtu mengecam serangan berulang terhadap kapal yang melalui Selat Hormuz.

Namun, ia tidak menamakan Iran. – AFP

 

Scroll to Top