Iran isytihar menang besar

Iran isytihar menang besar
Iran isytihar menang besar

Gambar dijana AI menunjukkan penduduk Iran meraikan kemenangan selepas 40 hari menghadapi konflik antara negara mereka dengan AS-Israel – Foto: Agensi

TEHERAN — Iran mengisytiharkan ‘kemenangan bersejarah’ ke atas Amerika Syarikat dan Israel selepas 40 hari konflik, dengan mendakwa Washington terpaksa menerima cadangan damai yang dikemukakan Teheran, lapor Press TV.

Dalam kenyataan rasmi, Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran memaklumkan bahawa pihak lawan mengalami kekalahan besar dan kini ‘tiada pilihan selain tunduk’ kepada kehendak Iran.

Menurut kenyataan itu, Amerika Syarikat bersetuju dengan cadangan 10 perkara yang merangkumi gencatan senjata kekal, penarikan keluar tentera Amerika dari rantau tersebut serta penghapusan sekatan terhadap Iran.

Antara syarat lain termasuk tiada lagi serangan ke atas Iran, pengiktirafan kawalan Teheran ke atas Selat Hormuz, serta penerimaan terhadap program pengayaan nuklear negara itu.

Konflik yang berlarutan selama 40 hari itu didakwa menyaksikan Iran dan sekutunya di rantau Asia Barat melancarkan serangan besar-besaran sehingga melemahkan keupayaan ketenteraan Amerika Syarikat di kawasan berkenaan.

Kenyataan itu turut mendakwa Washington mula menyedari kegagalan mereka seawal 10 hari pertama perang, sebelum berusaha membuka rundingan bagi mencapai gencatan senjata.

Perkembangan ini berlaku beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan penangguhan serangan ke atas Iran selama dua minggu, dengan syarat Teheran membuka semula laluan di Selat Hormuz.

Trump sebelum ini turut mencetuskan kontroversi apabila memberi amaran bahawa ‘seluruh tamadun Iran akan musnah’ jika Iran tidak memenuhi tuntutan tersebut.

Dalam pada itu, Iran menegaskan rundingan lanjut akan diadakan di Islamabad dalam tempoh dua minggu bagi memuktamadkan butiran perjanjian, sambil menekankan bahawa negara itu akan terus bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan. – Agensi

Scroll to Top