TEHERAN – Iran melancarkan mekanisme baharu bagi mengawal pergerakan kapal di Selat Hormuz, ketika ketegangan serantau terus memuncak susulan konflik dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Menurut laporan Press TV, sistem baharu itu menetapkan semua kapal yang ingin melalui laluan strategik berkenaan akan menerima e-mel rasmi daripada alamat info@PGSA.ir yang mengandungi garis panduan serta peraturan pelayaran.
Di bawah mekanisme tersebut, setiap kapal diwajibkan mematuhi rangka kerja ditetapkan dan mendapatkan permit transit sebelum dibenarkan melintasi Selat Hormuz, yang merupakan antara laluan penghantaran minyak paling penting di dunia.
Inisiatif itu yang digambarkan sebagai sistem tadbir urus kedaulatan, kini berkuat kuasa sepenuhnya di selat berkenaan yang mengendalikan kira-kira 20 peratus perdagangan minyak global.
Dalam perkembangan berkaitan, angkatan bersenjata Iran dilaporkan telah memperketat kawalan ke atas selat tersebut dengan menyekat semua kapal yang mempunyai kaitan dengan AS dan Israel susulan serangan kedua-dua negara terhadap republik Islam itu pada 28 Februari lalu.
Teheran sebelum ini memberi bayangan untuk membuka semula laluan tersebut selepas AS dan Israel bersetuju memasukkan Lubnan dalam perjanjian gencatan senjata yang diusahakan oleh Pakistan, sekali gus membantu meredakan konflik.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Iran kembali menutup laluan itu selepas mendakwa Washington dan Tel Aviv terus melanggar syarat gencatan senjata.
Sementara itu, satu rang undang-undang yang sedang dibahaskan di Parlimen Iran dijangka mengenakan larangan penuh terhadap semua kapal yang mempunyai kaitan dengan Israel, manakala kapal berkaitan AS dan negara yang dianggap bermusuhan bakal berdepan sekatan ketat.
Perundangan itu turut memperkenalkan sistem bayaran tol bagi kapal dari negara yang tidak bermusuhan untuk melalui laluan berkenaan.
Ketegangan semakin memuncak dalam beberapa hari kebelakangan ini selepas AS melancarkan operasi bagi memecahkan kawalan Iran ke atas Selat Hormuz, dengan tentera Iran berulang kali memberi amaran kepada kapal perang AS agar tidak menghampiri kawasan tersebut.
Pada Isnin, pasukan tentera laut Iran dilaporkan melepaskan peluru berpandu dan dron berhampiran kapal pemusnah AS yang mengabaikan amaran supaya menjauhi laluan strategik itu.
Dalam pada itu, Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Qalibafmenyifatkan situasi semasa di Selat Hormuz sebagai ‘tidak tertanggung’ bagi AS, sambil menegaskan Teheran ‘masih belum memulakan sepenuhnya’ tindak balasnya.
Pegawai Iran turut menegaskan mereka akan terus mempertahankan kedaulatan negara di laluan berkenaan dan memberi amaran bahawa sebarang cubaan mencabar kawalan tersebut akan dibalas dengan tindakan tegas. – Agensi



