Iran pertimbang guna ‘ikan lumba-lumba berperiuk api’ di Selat Hormuz

Iran pertimbang guna ‘ikan lumba-lumba berperiuk api’ di Selat Hormuz

TEHERAN – Iran dilaporkan sedang menilai cadangan menggunakan ikan lumba-lumba yang membawa bahan letupan bagi memecahkan sekatan laut Amerika Syarikat (AS) di Selat Hormuz.

Menurut laporan The Wall Street Journal, haiwan mamalia itu digelar sebagai ‘lumba-lumba kamikaze’ – merupakan antara beberapa pilihan yang sedang dipertimbangkan Teheran untuk menembusi sekatan tentera laut AS di laluan strategik berkenaan.

Spekulasi mengenai penggunaan senjata luar biasa itu sebenarnya telah berlegar sejak tahun 2000, apabila seorang jurulatih lumba-lumba Rusia mendakwa menjual sekumpulan lumba-lumba terlatih era Soviet kepada Republik Islam itu bagi memperkukuh keupayaan ketenteraannya.

Ketika ditanya mengenai perkara itu pada sidang media di Pentagon, Ketua Turus Bersama AS, Dan Caine, dilihat berseloroh.

“Saya tidak pernah dengar tentang lumba-lumba kamikaze. Ia seperti jerung dengan pancaran laser, bukan?” katanya, sebelum Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, menambah: “Saya tidak boleh sahkan atau nafikan kewujudan lumba-lumba kamikaze. Tetapi saya boleh sahkan ia tidak wujud.”

Media kerajaan Iran pula menyifatkan dakwaan tersebut sebagai ‘tidak masuk akal’.

Namun, BBC pernah melaporkan pada tahun 2000 bahawa sekumpulan ikan lumba-lumba dengan latihan ketenteraan dipercayai telah dijual kepada Teheran.

Haiwan itu sebelum ini didakwa menjadi sebahagian daripada program latihan Soviet di bandar Sevastopol, di mana ia dilatih untuk menyerang kapal perang serta penyelam tempur musuh, selain mampu membawa periuk api yang meletup apabila bertembung dengan sasaran.

Ketua jurulatihnya, Boris Zhurid berkata, beliau terpaksa menjual haiwan tersebut kerana kekurangan dana.

“Saya tidak sanggup melihat haiwan saya kebuluran. Kami kehabisan ubat-ubatan yang mahal dan juga makanan,” katanya, sambil menambah Iran turut membina fasiliti khas untuk meneruskan penyelidikan berkaitan.

Dalam perkembangan terkini, kapal-kapal dilihat berlabuh di perairan berhampiran Bandar Abbas ketika ketegangan meningkat di Selat Hormuz.

Pada Isnin, AS mengarahkan tenteranya mengiringi kapal tangki minyak yang terkandas melalui laluan itu sebagai sebahagian daripada operasi dikenali sebagai ‘Project Freedom’.

Iran pula dilaporkan melepaskan tembakan ke arah kapal AS serta melancarkan serangan dron ke Emiriah Arab Bersatu, sekali gus mengancam gencatan senjata rapuh di rantau tersebut.

Selat sempit itu hampir lumpuh sejak serangan oleh AS dan Israel terhadap Iran bermula pada 28 Februari lalu. Teheran turut mengancam menggunakan periuk api, dron, peluru berpandu dan bot serangan pantas bagi menentang sekatan laut.

Walaupun idea penggunaan ikan lumba-lumba dilihat luar biasa, sejarah menunjukkan penggunaan haiwan dalam peperangan pernah diteroka.

Semasa Perang Dunia Kedua, AS pernah menjalankan penyelidikan untuk menggunakan kelawar sebagai pembawa bom atas arahan Presiden Franklin D Roosevelt.

Kira-kira 6,000 ekor kelawar digunakan dalam eksperimen itu, namun ia tidak pernah digunakan dalam pertempuran.

Dalam konflik lebih moden, terdapat laporan kumpulan Taliban menggunakan keldai yang dipasang bahan letupan buatan sendiri (IED) ketika perang di Afghanistan.

Seorang pegawai tentera British, Mejar Richard Streatfeild, pernah menceritakan insiden pada 2009 di wilayah Helmand, apabila seekor keldai mencurigakan ditembak sebelum pasukan menemui bahan letupan tersembunyi di bawah jerami.

“Ia sukar dilaporkan tanpa rasa pelik atau seolah-olah dunia ini sudah terbalik,” katanya. – Agensi

 

 

Scroll to Top