TEHERAN: Iran sedang merangka senarai syarat untuk membuka semula Selat Hormuz selepas pengantara meminta Teheran mengemukakan tuntutan berkenaan, kata Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei.
Beliau berkata, penamatan perang serantau antara syarat yang akan dikemukakan kepada pihak berkenaan.
Rezaei berkata, Iran dan Oman turut bersetuju mewujudkan koridor perkapalan melalui selat itu, dengan sebahagian laluan berada di perairan Oman dan selebihnya di perairan Iran.
Katanya, kapal akan menggunakan laluan tengah yang ditetapkan sekiranya Amerika Syarikat (AS) memenuhi syarat Teheran.
Beliau berkata demikian dalam temu bual dengan stesen televisyen Al Manar menerusi jurubahasa.
Kelmarin, seorang sumber kanan berkata Iran dan Oman masih memperincikan perjanjian berhubung laluan perairan itu, selepas Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa kedua-dua negara sudah mencapai persetujuan mengenai pembahagian kawalan dan hasil Selat Hormuz.
Jurucakap IRGC berkata, Iran tidak akan membenarkan selat itu dibuka semula selagi Washington tidak menarik balik apa yang disifatkan Tehran sebagai sekatan terhadap pelabuhan Iran, selain membayar pampasan dan menarik balik sekatan ekonomi.
Sebelum perang tercetus pada Februari, Selat Hormuz menjadi laluan kepada kira-kira satu perlima penghantaran minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia.
Bagaimanapun, aktiviti perkapalan melalui laluan strategik itu sebahagian besarnya terhenti sejak perang bermula.
Perjanjian gencatan senjata yang diumumkan Washington dan Tehran pada April serta Jun bertujuan memulihkan semula aktiviti perkapalan, namun kedua-duanya gagal bertahan.- AGENSI

