BERLIN – Canselor Jerman, Friedrich Merz mendakwa kepimpinan Iran “memalukan” Amerika Syarikat dalam konflik yang berlarutan, sekali gus memperlihatkan ketegangan semakin ketara antara Washington dan sekutu Eropahnya.
Menurut Merz, Iran dilihat bijak memanipulasi rundingan dengan membiarkan pegawai Amerika berulang-alik ke Islamabad tanpa sebarang hasil konkrit.
“Orang Iran jelas sangat mahir dalam rundingan atau lebih tepat, mahir untuk tidak berunding. Mereka membiarkan pihak Amerika datang ke Islamabad dan pulang tanpa hasil,” katanya ketika berucap kepada pelajar di Marsberg baru-baru ini.
Beliau turut menyifatkan situasi itu sebagai penghinaan terhadap Amerika Syarikat, khususnya oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dan berharap konflik tersebut dapat ditamatkan segera.
Dalam masa sama, Merz mempersoalkan hala tuju strategi keluar Washington dalam perang menentang Iran, sambil menegaskan beliau tidak melihat sebarang pelan jelas untuk menamatkan konflik berkenaan.
Kenyataan itu mencerminkan perpecahan semakin ketara antara Amerika Syarikat dan sekutu NATO di Eropah, yang sebelum ini turut berselisih pandangan dalam isu Ukraine dan keselamatan global.
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini mengkritik sekutu NATO kerana tidak menghantar aset tentera laut bagi membantu membuka semula Selat Hormuz, yang kini hampir lumpuh akibat sekatan dan konflik berterusan.
Merz turut menegaskan bahawa Jerman dan negara Eropah lain tidak dirujuk sebelum serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran bermula pada 28 Februari lalu.
“Jika saya tahu konflik ini akan berlarutan selama lima atau enam minggu dan semakin buruk, saya akan menyatakan bantahan dengan lebih tegas,” katanya, sambil membandingkan situasi itu dengan perang terdahulu di Iraq dan Afghanistan.
Usaha damai pula dilihat semakin sukar selepas Washington membatalkan lawatan wakilnya ke Islamabad, manakala Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berlepas ke Rusia selepas rundingan di Pakistan dan Oman gagal mencapai kemajuan.
Dalam perkembangan berkaitan, Merz berkata, laluan Selat Hormuz dipercayai telah dipasang periuk api, dan Eropah termasuk Jerman telah menawarkan untuk menghantar kapal penyapu ranjau bagi membantu membersihkan kawasan tersebut.
Beliau turut memberi amaran bahawa konflik itu memberi kesan ekonomi besar kepada Jerman, termasuk melibatkan kos tinggi kepada pembayar cukai serta menjejaskan kekuatan ekonomi negara itu. – Agensi



