Iran teroka kepakaran MPOB dalam R&D sawit

Iran teroka kepakaran MPOB dalam R&D sawit

KUALA LUMPUR – Iran sedang meneroka kerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) minyak sawit.

Timbalan Ketua Pengarah MPOB Dr. Zainab Idris berkata, hasrat itu telah dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Presiden Pertubuhan Penyelidikan, Pendidikan &; Pengembangan Pertanian (AREEO) Dr. Mojtaba Khayam Nekouei yang mengadakan kunjungan di MPOB baru-baru ini.

Mojtaba telah menyatakan minat Iran untuk memeterai dua memorandum persefahaman dengan MPOB dalam bidang R&;D minyak sawit secepat mungkin.

Delegasi Iran juga menyambut baik cadangan kerjasama penyelidikan yang diutarakan oleh MPOB dalam bidang kajian pemakanan minyak sawit.

Selain itu, kajian seperti ini dilihat sebagai langkah proaktif kedua-dua negara dalam meningkatkan imej sawit Malaysia seterusnya dapat mengubah persepsi negatif
terhadap minyak sawit dalam kalangan masyarakat Iran, kata Zainab.

MPOB telah mengadakan perbincangan awal dengan institusi penyelidikan Iran seperti National Nutrition and Food Technology Research (NNFTRI) dan Universiti
Sains Perubatan Tehran (TUMS).

Menurut Zainab, pertemuan itu merupakan peluang keemasan untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan meletakkan asas bagi kerjasama
berpanjangan antara kedua-dua negara.

“MPOB bersetuju untuk meneroka kemungkinan untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dengan Republik Islam Iran dan kami berharap dapat belajar
daripada pandangan dan pengalaman unik negara tersebut dalam sektor pertanian melalui ikatan memorandum persefahaman,” kata beliau.

Iran merupakan pengimport bersih minyak dan lemak dan pengeluaran tempatannya mencukupi untuk hanya 29.1% daripada jumlah keperluannya.

Pada 2022, ia menggunakan 2.09 juta tan minyak dan lemak untuk kegunaan domestiknya..

Negara ini juga antara pengimport penting minyak sawit Malaysia.

Jumlah eksport produk sawit Malaysia ke Iran pada 2022 adalah pada 492,688 tan, meningkat 13.6% daripada tahun sebelumnya, dengan nilai RM2.79 bilion

Produk utama berasaskan sawit Malaysia yang dieksport ke negara tersebut pada tahun lepas ialah olein sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau (RBD), minyak sawit
RBD, bahan gantian lemak koko dan minyak masak.

Bagi enam bulan pertama 2023, jumlah eksport produk sawit Malaysia ke Iran meningkat 53% kepada 185,946 tan berbanding dengan jumlah bagi tempoh yang sama tahun lepas. – MalaysiaGazette