Iran tidak akan menyerah – Ayatollah

Iran tidak akan menyerah –  Ayatollah

Tehran: Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei menegaskan Iran tidak akan sesekali menyerah diri, sambil memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS), sebarang campur tangan ketenteraan akan membawa kepada ‘kerosakan yang tidak dapat diperbaiki’.

Dalam pada itu, Israel mengumumkan sudah memusnahkan ibu pejabat keselamatan dalaman Iran di Tehran, enam hari selepas konflik besar-besaran bermula.

Kenyataan itu diucapkan Khamenei ketika Presiden AS Donald Trump menyatakan beliau ‘mungkin akan campur tangan, mungkin tidak,” sambil menuntut penyerahan tanpa syarat daripada Iran.

“Negara ini tidak akan menyerah,” tegas Khamenei dalam ucapannya, menyifatkan tuntutan Trump sebagai ‘tidak dapat diterima’.

“Amerika perlu tahu sebarang campur tangan ketenteraan pasti akan membawa kerosakan yang tidak boleh dibaiki,” katanya.

Khamenei, yang memegang kuasa sejak 1989 dan penentu utama dalam semua urusan negara, sebelum ini berikrar Iran akan ‘tidak menunjukkan belas kasihan’ terhadap kepimpinan Israel.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berkata jet pejuang Israel memusnahkan ibu pejabat keselamatan dalaman Iran, yang disifatkan sebagai ‘jantung penindasan rejim Ayatollah’.

“Kami akan terus menyerang simbol pemerintahan dan menghentam rejim Ayatollah di mana sahaja mereka berada,” tegas Katz dalam satu kenyataan.

Menurut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), serangan udara Israel juga memusnahkan dua bangunan di Karaj, berhampiran Tehran, yang digunakan untuk menghasilkan komponen sentrifug bagi program nuklear Iran.

“Lebih 50 jet pejuang tentera udara Israel melancarkan siri serangan udara di sekitar Tehran sejak beberapa jam lalu,” kata.

Satu lagi bangunan di Tehran yang menghasilkan rotor sentrifug turut diserang.

Sentrifug adalah alat penting dalam proses pengayaan uranium, yang boleh digunakan untuk menjana tenaga nuklear atau, jika diproses lanjut, membina senjata nuklear.

Dalam pada itu, pengawal Revolusi Iran melancarkan peluru berpandu hipersonik Fattah-1 ke arah Tel Aviv, namun tiada peluru berpandu yang berjaya mengenai bandar itu setakat malam tadi.

Gambar AFP menunjukkan sistem pertahanan udara Israel diaktifkan untuk memintas serangan itu.

Trump terus membangkitkan spekulasi mengenai kemungkinan campur tangan AS, dengan berkata:

“Saya mungkin lakukannya, mungkin tidak. Maksud saya, tiada siapa tahu apa yang saya akan buat”.

Sehari sebelum itu, beliau menyatakan AS boleh membunuh Khamenei bila-bila masa, tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian buat masa ini.

“Kami tahu di mana [Pemimpin Agung’ itu bersembunyi. Dia sasaran mudah, tetapi buat masa ini dia selamat,” tulis Trump di platform Truth Social miliknya.

Pegawai AS menegaskan tiada keputusan rasmi dibuat setakat ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top