Iraola enggan kompromi intensiti Liverpool

Iraola enggan kompromi intensiti Liverpool

Liverpool: Pengurus Liverpool, Andoni Iraola enggan mengurangkan intensiti permainan pasukannya meskipun berdepan masalah kecederaan beberapa pemain utama menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brighton di Anfield, Ahad ini.

The Reds dijangka kehilangan khidmat Dominik Szoboszlai, Jeremie Frimpong dan Victor Munoz bagi perlawanan itu, manakala Alexander Isak serta Cody Gakpo baru kembali daripada kecederaan yang dialami ketika tugasan antarabangsa.

Iraola yang membina reputasi menerusi corak permainan berintensiti tinggi ketika mengendalikan Bournemouth, kini berdepan cabaran baharu apabila perlu mengimbangi tuntutan saingan domestik dan Eropah bersama Liverpool.

Pengendali dari Sepanyol itu menegaskan pemainnya perlu memberikan komitmen maksimum kerana corak permainan yang diterapkannya tidak membenarkan mereka beraksi sambil lewa.

“Dengan cara kami mahu bermain, anda tidak boleh memberikan hanya 70 peratus.

“Bayangkan kami tidak mempunyai pemain sayap kanan di bangku simpanan, saya akan meletakkan pemain lain di posisi itu. Saya lebih rela berbuat demikian daripada meminta pemain menyimpan tenaga supaya mampu bertahan selama 90 minit.

“Berikan segala-galanya selama 60, 65, 70 atau 72 minit. Selepas itu, pemain lain akan mengambil alih untuk baki 18 atau 35 minit kerana kami perlu bermain dengan intensiti penuh.

“Saya mahu mengatakan kami cukup bagus untuk bermain pada tahap 70 peratus dan memenangi perlawanan, tetapi hakikatnya bukan begitu. Kami perlu memberikan prestasi terbaik kerana pasukan yang kami hadapi sangat bagus,” katanya pada sidang media menjelang perlawanan.

Liverpool menghuni tangga keempat menjelang aksi hujung minggu ini, ketinggalan empat mata di belakang Brighton yang berada di tempat ketiga dan muncul pasukan paling prolifik EPL dengan 23 gol dalam tujuh perlawanan.

Iraola mengakui Brighton berada pada tahap terbaik, selain memuji kualiti taktikal pasukan kendalian Fabian Hurzeler itu.

“Saya fikir mereka melakukan tugas dengan sangat baik. Mereka memang layak menerima segala pujian dan tidak banyak yang boleh dipertikaikan mengenai perkara itu.

“Mereka pasukan yang dibimbing dengan baik. Kami perlu berada pada tahap terbaik untuk menewaskan Brighton kerana mereka kini memiliki keyakinan tinggi. Namun, saya juga melihat pasukan saya berada dalam keadaan baik,” katanya.

Sementara itu, Iraola berharap Szoboszlai tidak perlu berehat terlalu lama selepas kecederaannya berulang ketika kemenangan ke atas Brentford hujung minggu lalu.

Pemain tengah Hungary itu belum kembali menjalani latihan bersama pasukan, walaupun sudah memulakan latihan individu di luar padang.

“Saya rasa dia tidak jauh daripada kembali, tetapi dia masih belum berlatih bersama kumpulan. Memandangkan dia sudah diturunkan sebelum terpaksa dikeluarkan minggu lalu, kami mungkin memerlukan satu atau dua hari tambahan berbanding jangkaan sebelum ini.

“Dia berada dalam keadaan baik. Dom sudah menjalani latihan individu di luar dan akan kembali berlatih bersama kumpulan, tetapi dia belum bersedia untuk perlawanan kali ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top