farahmarshita@bh.com.my
Kuala Lumpur: Syarikat tempatan termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) perlu terbabit dalam rantaian bekalan pelabur bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan pendekatan itu dapat membantu membangunkan ekonomi dan meningkatkan eksport.
Beliau berkata, pendekatan itu juga mengurangkan import kerana sebahagian daripada keperluan industri dapat dipenuhi oleh pengeluaran tempatan.
“Strategi ini sedang dilaksanakan. Seperti yang saya nyatakan tadi, eksport berkembang sebanyak 34 peratus, manakala import meningkat 25 peratus.
“Sekiranya eksport berkembang 34 peratus, tetapi import hanya meningkat misalnya 10 peratus, ini bermakna sebahagian daripada keperluan yang sebelum ini diimport sudah dapat dihasilkan dalam negara,” katanya selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026, di Menara MITI, di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin serta Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri.
Terdahulu, Johari dalam ucapannya berkata, jumlah perdagangan negara dilaporkan meningkat 34 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan eksport turut mencatat pertumbuhan lebih 30 peratus.
Katanya, import negara turut meningkat, namun pada kadar lebih rendah berbanding pertumbuhan eksport.
Johari berkata, secara dasar kerajaan mahu industri Malaysia bergerak daripada aktiviti pemasangan kepada reka bentuk dan kejuruteraan, pengeluaran produk asas kepada produk berteknologi dan bernilai tambah tinggi serta daripada menjadi pembekal domestik kepada pembekal yang dipercayai oleh syarikat multinasional dan peneraju industri global.
“Kementerian mahu melihat lebih banyak syarikat tempatan membangunkan teknologi sendiri,
memperkukuh keupayaan penyelidikan dan pembangunan, membina jenama yang kukuh serta menguasai pasaran eksport.
“Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 menyediakan hala tuju untuk membawa sektor pembuatan negara ke tahap yang lebih tinggi.
“Tumpuannya adalah untuk meningkatkan kompleksiti ekonomi melalui inovasi dan daya cipta serta memperluas penggunaan teknologi, digitalisasi dan automasi dalam proses pembuatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




