Iraq bedah siasat prestasi hambar di Piala Dunia

Iraq bedah siasat prestasi hambar di Piala Dunia

Philadelphia: Jawatankuasa Olimpik Iraq akan melakukan siasatan terhadap kempen mengecewakan pasukan kebangsaan negara itu di Piala Dunia 2026 serta menggariskan langkah bagi mengelakkan keputusan buruk berulang pada kejohanan akan datang.

Penampilan pertama Iraq di pusingan akhir Piala Dunia dalam tempoh 40 tahun menjadi satu pengajaran yang pahit, apabila pasukan itu tewas semua tiga perlawanan peringkat kumpulan yang turut dibarisi bekas juara Perancis, Norway dan gergasi Afrika, Senegal.

Iraq jelas berdepan situasi sukar apabila tersingkir daripada kejohanan tanpa meraih sebarang mata selain melepaskan 12 gol, sekali gus menyerlahkan jurang antara mereka dengan negara bola sepak yang lebih kuat.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Iraq, Aqeel Muftin berkata, satu mesyuarat akan diadakan bersama pegawai Persatuan Bolasepak Iraq bagi menilai punca prestasi hambar itu serta merangka pelan penambahbaikan.

“Kami akan mengadakan mesyuarat dengan pegawai Persatuan Bolasepak Iraq untuk meneliti punca di sebalik kemerosotan keputusan pasukan di Piala Dunia dan membangunkan strategi bagi memperbaikinya,” kata Muftin kepada agensi berita Iraq.

Beliau berkata perbincangan selepas kepulangan pasukan akan memberi tumpuan kepada usaha memastikan keputusan buruk itu tidak berulang, dengan satu pelan hala tuju yang menyeluruh merangkumi jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mengenal pasti kelemahan serta mengatasinya.

Muftin berkata, penilaian itu akan dikendalikan oleh jawatankuasa khas yang ditugaskan mencari penyelesaian terhadap tahap prestasi lemah liga domestik dan pasukan kebangsaan, selain meletakkan asas bagi kemajuan yang berterusan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top