PN yakin tiada parti raih majoriti mudah pada PRN Johor

PN yakin tiada parti raih majoriti mudah pada PRN Johor

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Pagoh: Perikatan Nasional (PN) melahirkan keyakinan Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) Johor kali ini tidak akan ada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah.

Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, walaupun mereka bertanding 33 kerusi pada PRN Johor kali ini, tetapi satu pakatan pilihan raya diwujudkan dengan beberapa parti bagi membentuk kerajaan negeri.

“Walaupun nampak (PN bertanding sebanyak) 33 (kerusi), kita ada ‘electoral pact’ (pakatan pilihan raya) dengan beberapa parti lain.

“Jadi itu tak ada masalah (bagi membentuk kerajaan negeri). Kami pun yakin bahawa PRN Johor kali ini tak akan ada pihak dapat majoriti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi walkabout di Pasar Malam Taman Sri Pagoh.

Sebelum ini, beberapa pihak mempertikaikan jumlah 33 kerusi yang ditandingi oleh PN dalam PRN Johor kali ini, serta bagaimana mahu membentuk kerajaan dengan jumlah itu.

Menyentuh mengenai bagaimana BERSATU mahu membentuk kerajaan negeri bersama PAS susulan penamatan kerjasama politik kedua-dua parti sebelum ini, Sahruddin yang juga bekas Menteri Besar Johor masih menganggap mereka tidak berpisah.

“Sebetulnya tidak berpisah pun. Kan, masih juga satu rumah, masih satu payung. Jadi kalau bercakaran adik-beradik itu biasalah.

“Yang penting jangan keluar rumah (PN). Kalau keluar rumah itu hal lain. Tapi walaupun begitu, mereka masih satu rumah,” katanya.

Beliau juga melahirkan keyakinan, PAS masih bersama dengan BERSATU dan tidak akan ada masalah sekiranya mahu membentuk kerajaan negeri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top