Kuala Lumpur: “Handsome betullah Fattah ini.” Demikian kata ibu bapa penyanyi, Amira Othman saat pertama kali bertentang mata dengan, Fattah Amin.
Perkara itu dikongsikan adik Amira yang juga penyanyi, Irfan Haris dalam sesi siaran langsung di TikTok baru-baru ini.
“Tanggapan pertama, satu saja. Saya ingat lagi (kata-kata) mak dan bapa saya,” katanya.
Sementara itu, Irfan juga menganggap penampilan Fattah umpama ‘Superman Malaysia’.
“Pertama kali saya berjumpa dengan Abang Fattah, saya berborak dengan dia. Keesokan harinya saya cakap dengan kakak saya, ‘Kak, helok betul kak. Memang betul-betul punya ‘handsome’ Abang Fattah. Macam ‘Superman Malaysia’,” katanya.
Tambahnya, Fattah juga contoh lelaki berakhlak tanpa sebarang sikap buruk atau ‘red flag’.
“Rupa paras semua daripada pemberian Allah kan. Selain rupa, dia punya kebaikan, dia punya rendah diri, dengan pemurahnya, dia set lengkap. Dia tak ada ‘red flag’, semuanya ‘green flag’,” katanya.
Fattah dan Amira bakal diijabkabulkan esok selepas membuat pengumuman mengenai hubungan cinta mereka, baru-baru ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




