am@hmetro.com.my
Putrajaya: Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, kembali menjadi tumpuan media, hari ini, bagi perkembangan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri tiba di Ibu Pejabat SPRM di sini pada 9.52 pagi dengan menaiki Toyota Vellfire warna hitam, diiringi kenderaan peronda polis.
Beliau hadir untuk menyambung memberi keterangan berhubung siasatan kes yang dikaitkan dengannya.
Ismail Sabri yang memakai kot hitam dan baju warna putih sempat membuka tingkap kenderaan yang dinaiki, sambil melambai tangan kepada pengamal media yang hadir ke suruhanjaya itu sejak 9 pagi bagi membuat liputan kes berkenaan.
Pada Khamis dan Jumaat lalu, Ismail Sabri hadir ke ibu pejabat SPRM dan dirakam percakapan hampir 11 jam.
Pada 3 Mac lalu, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram, susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di sebuah ‘safe house’.
Katanya, wang tunai dalam pelbagai mata wang antarabangsa itu, antaranya Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, manakala 16 kilogram jongkong emas tulen yang turut disita dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



