rnoraina@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin iaitu Ismanira Abdul Manaf didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mengabaikan anak lelakinya itu dua tahun lalu.
Hakim Dr Syahliza Warnoh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaannya.
Ismanira, 30, bersama suami Zaim Ikhwan Zahari didakwa mengabaikan anak lelaki mereka dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment berkenaan antara jam 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Ismanira diperintah membela diri manakala suaminya dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan berkenaan semasa akhir kes pendakwaan mereka pada 21 Julai lalu.
Ismanira kemudian memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.
Ibu bapa kanak-kanak autistik terbabit diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Pendakwaan pula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya iaitu Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




