TEL AVIV – Kerajaan Israel pimpinan Benjamin Netanyahu hari ini akur dengan gesaan Amerika Syarikat (AS) supaya membenarkan dua trak minyak sehari masuk ke Gaza untuk keperluan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tindakan itu bertujuan untuk membolehkan penyelenggaraan minimum yang diperlukan untuk sistem air, pembetung dan kebersihan.
Ia bagi mencegah wabak yang boleh merebak ke seluruh kawasan, memudaratkan penduduk Gaza serta pasukan tentera Zionis dan berpotensi merebak ke Israel.
Menurut The Times of Israel, pegawai Israel akan mengikuti penghantaran bahan api tersebut untuk memastikan ia tidak sampai kepada kumpulan Hamas.
Sementara itu, cadangan yang turut dipersetujui oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan Perkhidmatan Keselamatan Israel (Shin Bet) telah menimbulkan kekecohan dalam kerajaan perpaduan zionis.
Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich misalnya menghantar surat kepada Netanyahu menyuarakan kekecewaannya terhadap keputusan itu, dan menyatakan bahawa anggota Kabinet perang mesti diubah dengan memasukkan ketua setiap parti.
Smotrich berkata, tindakan Kabinet perang adalah “tidak boleh diterima” dan menggesa Netanyahu untuk menghentikan cadangan itu secepat mungkin.
Beliau seterusnya berkata, keputusan itu ibarat meludah ke muka askar IDF, tebusan dan keluarga yang berduka.
Ia juga bertentangan dengan keputusan Kabinet politik-keselamatan dan oleh itu adalah menyalahi undang-undang Israel.- Agensi

