BAITULMAQDIS – Seorang aktivis Zionis terkemuka meramalkan Israel akan berdepan peperangan dengan Mesir dalam tempoh 15 tahun akan datang, sambil mendakwa cabaran strategik utama negara itu selepas ini akan datang daripada kuasa-kuasa Sunni susulan kelemahan Iran dan sekutu-sekutunya di rantau Asia Barat.
Ketua Eksekutif Pusat Herut, Amiad Cohen, membuat kenyataan tersebut ketika berucap pada Sidang Kemuncak Dasar Antarabangsa anjuran Jewish News Syndicate (JNS) di Baitulmaqdis.
“Lima belas tahun dari sekarang, Israel akan berperang dengan Mesir,” katanya sambil mendakwa bahawa ‘Muslim Brotherhood’ akhirnya akan mengambil alih pemerintahan di Mesir.
Kenyataan itu dibuat dalam perbincangan mengenai hala tuju strategik jangka panjang Israel selepas konfrontasi dengan Iran dan kumpulan yang digelar sebagai ‘Paksi Penentangan’.
Menurut Cohen, tumpuan Israel kini perlu beralih daripada ancaman kumpulan Syiah kepada gerakan politik Sunni.
Beliau berulang kali menggambarkan Ikhwanul Muslimin sebagai ‘ancaman nombor satu’ kepada Amerika Syarikat’.
Cohen turut mendakwa kumpulan itu sedang berusaha memperluaskan pengaruh di beberapa negeri AS termasuk Florida dan Texas.
Beliau juga mengaitkan kemenangan ahli politik Amerika, Zohran Mamdani, dalam pilihan raya datuk bandar dengan dakwaan pengaruh Ikhwanul Muslimin, walaupun tidak mengemukakan bukti bagi menyokong kenyataan tersebut.
Selain Mesir, Cohen turut menamakan Turkiye sebagai ancaman yang semakin meningkat kepada Israel.
Beliau mendakwa Ankara sedang memperluaskan pengaruhnya di rantau itu dan perlu dilihat sebagai cabaran strategik jangka panjang kepada Israel.
Kenyataan tersebut mencerminkan kecenderungan yang semakin ketara dalam sebahagian kalangan politik dan keselamatan Israel yang melihat kuasa-kuasa Sunni, khususnya Mesir dan Turkiye, sebagai kemungkinan musuh pada masa hadapan.
Bulan lalu, bekas perisik Israel yang pernah disabitkan kesalahan mengintip untuk negara itu, Jonathan Pollard, turut memberi amaran bahawa Turkiye dan Mesir berpotensi menjadi sasaran strategik Israel selepas pengaruh Iran semakin lemah.
Menurut Pollard, Turkiye kini menggantikan Iran sebagai ancaman utama kepada Israel, selain menuduh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, berusaha memperluaskan dominasi serantau.
Beliau pada masa sama turut menyifatkan Mesir sebagai cabaran berpotensi kepada Israel meskipun kedua-dua negara telah menandatangani perjanjian damai sejak 1979.
Israel dan Mesir menandatangani perjanjian damai bersejarah menerusi Egypt–Israel Peace Treaty dan sejak itu mengekalkan kerjasama keselamatan yang rapat selama beberapa dekad.
Sementara itu, hubungan antara Israel dan Turkiye pula mengalami turun naik susulan perbezaan pendirian berhubung Gaza, Baitulmaqdis dan beberapa isu geopolitik serantau.
Mengakhiri ucapannya, Cohen menegaskan bahawa Israel perlu bersedia menghadapi masa depan yang menurutnya akan lebih dipengaruhi oleh cabaran daripada kuasa politik Sunni dan negara-negara serantau berbanding aktor Syiah.
“Israel perlu kuat dan Amerika perlu kuat. Malangnya, Amerika kini lemah,” katanya. – Agensi.



