Israel kecam Erdogan selepas Turkiye keluar waran tangkap Netanyahu

BAITULMUQADDIS: Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Jumaat menyifatkan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan sebagai diktator antisemitik dan berikrar bahawa negara haram itu akan terus bertindak tegas terhadap usaha Ankara yang didakwa mahu menggugat kestabilan di rantau Asia Barat.

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas Syria menuduh Israel mengebom sebuah pangkalan udara di utara negara itu, tidak jauh dari sempadan Turkiye. 

Netanyahu kemudian secara tidak langsung mengaku negaranya melancarkan  serangan tersebut.

Netanyahu sebelum ini berkata, Turkiye berusaha mewujudkan kehadiran ketenteraan di lokasi berkenaan.

Namun, Turkiye menafikan sebarang lawatan ke tapak tersebut.

Ia juga berlaku selepas Ankara pada Jumaat mengumumkan bahawa negara itu telah memohon waran tangkap antarabangsa terhadap Netanyahu, dengan menuduhnya melakukan genosid berkaitan tindakan Israel memintas flotila bantuan yang menuju ke Gaza.

“Erdogan ialah seorang diktator antisemitik yang membunuh orang Kurdis secara beramai-ramai, menyokong pembunuhan oleh organisasi Hamas dan menindas rakyatnya sendiri,” kata pejabat Netanyahu dalam satu kenyataan.

Pejabat itu menambah bahawa Israel akan terus bertindak tegas terhadap usaha Turkiye untuk menggugat kestabilan rantau ini dan terhadap sebarang ancaman terhadap keselamatannya.

Pada Selasa, Syria menuduh Israel menyerang sebuah pangkalan udara tentera yang tidak lagi digunakan berhampiran bandar Aleppo di barat laut. 

Pangkalan itu rosak semasa perang saudara dan tidak beroperasi sejak 2012.

Isael berkata, satu delegasi tentera Turkiye baru-baru ini telah melawat lokasi tersebut. Sebuah badan pemantau perang Syria berkata, lawatan itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengaktifkan semula pangkalan berkenaan.

Pada Khamis, Turkiye menafikan mempunyai sebarang kehadiran ketenteraan di pangkalan itu dan berikrar untuk terus menyokong kedaulatan Syria dengan tegas.

Dalam kenyataan berbahasa Inggeris pada Jumaat, pejabat Netanyahu menuduh Erdogan cuba meluaskan pencerobohannya terhadap Israel ke Syria.

“Israel tidak akan bertolak ansur dengannya,” kata kenyataan itu. – AGENSI

 

Scroll to Top