Israel lancar latihan berskala besar hadapi serangan mengejut

TEL AVIV: Tentera Israel akan melancarkan latihan ketenteraan berskala besar di bandar Eilat di Laut Merah dan Lembah Arava berhampiran sempadan Jordan pada Isnin bagi mensimulasikan serangan mengejut, lapor Anadolu.

Dalam satu kenyataan, tentera Israel berkata latihan itu akan diketuai Divisyen ke-80, dengan pergerakan anggota keselamatan, pesawat dan kapal tentera laut dijangka meningkat di kawasan berkenaan mulai Ahad.

Menurutnya, pasukan terbabit akan menjalani latihan bagi menghadapi ‘pelbagai senario’, termasuk serangan mengejut serta pencerobohan ke wilayah Israel melalui udara, laut dan darat.

Tentera Israel tidak menyatakan tempoh latihan itu, sebaliknya hanya berkata ia akan dijalankan ‘dalam beberapa hari akan datang’.

Latihan itu bertujuan menguji pertahanan komuniti Israel berhampiran sempadan Jordan dan kawasan Eilat, meningkatkan kesiapsiagaan tentera serta memanfaatkan keupayaan udara dan laut bagi memperkukuh pertahanan wilayah berkenaan.

Tentera Israel berkata latihan itu adalah sebahagian daripada proses berterusan untuk memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan serta menilai pengajaran yang diperoleh daripada insiden pertempuran dan keselamatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Latihan berkenaan diadakan seminggu selepas tentera Israel menjalankan latihan di Bukit Golan yang diduduki Syria, yang menurutnya bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi serangan mengejut dan kompleks.

Amaran mengenai kemungkinan pencerobohan merentasi sempadan timur Israel meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Jun lalu, sumber tentera Israel berkata cubaan pencerobohan melalui laut ke kawasan hotel di Eilat berjaya dipatahkan.

Menurut saluran swasta Israel, Channel 15, pada ketika itu, tentera laut mengesan seorang individu menaiki jet ski menghampiri kawasan hotel dari arah sempadan Jordan.

Pasukan Israel melepaskan tembakan amaran sebelum melepaskan tembakan ke arah individu berkenaan selepas dia gagal berhenti.

Individu itu kemudian berpatah balik ke arah dari mana dia datang. Jordan tidak mengulas laporan Israel berkenaan.

Scroll to Top