Israel mangsa kedua Itali

Israel mangsa kedua Itali

Budapest: Itali meneruskan kebangkitan daripada kegagalan di Euro 2024 dengan menang tipis 2-1 ke atas Israel di Budapest yang meletakkan Azzurri di puncak Kumpulan A2 Liga Negara-Negara.

Jaringan pada kedua-dua babak perlawanan daripada Davide Frattesi dan Moise Kean sudah cukup untuk Itali di Arena Bozsik yang menjadi tuan rumah kepada Israel susulan ketegangan di Timur Tengah.

Skuad Luciano Spalletti kembali mantap selepas gagal mempertahankan gelaran Eropah apabila tersingkir di peringkat 16 terakhir dan mereka wajar meraih dua kemenangan berturut-turut.

Kemenangan di ibu kota Hungary dan Perancis menewaskan Belgium membolehkan Itali muncul pendahulu kumpulan dengan enam mata penuh, tiga mata di depan Les Bleus dan Red Devils.

Kehadiran 2,000 penonton tidak menepati tahap aksi antarabangsa, malah sekumpulan penyokong Itali berpusing ke belakang ketika lagu kebangsaan Israel dikumandangkan sebelum perlawanan bermula.

Azzurri bermula perlahan sama seperti ketika mereka menewaskan Perancis 3-1 di Paris. Peluang itu gagal dimanfaatkan Israel manakala pemain lawan semakin garang dan berjaya mendapat gol pertama hasil jaringan Frattesi seleaps mendapat hantaran Federico Dimarco.

Ia jaringan antarabangsa keenamnya sejak Spalletti menggantikan Roberto Mancini tahun lalu. Sagiv Jehezkel hampir menyamakan kedudukan buat Israel sejurus sebelum rehat tetapi percubaan dari jarak dekat sedikit tersasar.

Itali menambah jaringan kedua pada minit ke-62 menerusi penyerang Fiorentina, Kean yang juga gol antarabangsa pertamanya sejak tiga tahun lalu.

Walaupun Mohamed Abu Fani merapatkan jurang pada minit akhir perlawanan, ia sudah terlalu lewat untuk Israel mencipta kebangkitan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top