JAKARTA – Seorang lelaki di Indonesia mendakwa menjadi mangsa penipuan individu yang dikatakan mengaku sebagai Imam Mahdi selepas diberitahu bahawa isterinya akan meninggal dunia sekiranya tidak membayar sejumlah wang.
Mangsa dikenali sebagai IH, 28, dari Sumenep, Jawa Timur, membuat laporan di Balai Polis Bangkalan selepas mendakwa mengalami kerugian kira-kira 13 juta rupiah (RM2,918).
Menurut laporan media tempatan, peguam mangsa, Iing Solihin Firmansyah berkata, anak guamnya mula mengenali individu dikenali sebagai F ketika menghadiri kelas pengajian agama pada 2020.
Bagaimanapun, pada 2023, IH didakwa dipanggil secara khusus oleh F yang memberitahu bahawa hubungan rohaninya telah terputus akibat melakukan kesalahan tertentu.
“Untuk memulihkan hubungan rohani itu, anak guam saya diminta membayar sejumlah wang,” katanya pada Isnin.

Mangsa (dua dari kanan) ketika membuat laporan polis. – FOTO: Agensi
Menurut Iing, mangsa kemudian diarahkan menemui bapa F, dikenali sebagai AS, yang digelar ‘Ratu Adil’.
Beliau mendakwa kedua-dua individu itu menggunakan pelbagai alasan untuk mendapatkan wang, termasuk menakut-nakutkan mangsa dengan ramalan bahawa isterinya sakit dan akan meninggal dunia jika bayaran tidak dibuat.
Mangsa mula mengesyaki berlaku penipuan selepas AS yang didakwa mempunyai kemampuan memanjangkan usia seseorang meninggal dunia.
IH kemudian tampil membuat laporan polis selepas mengetahui seorang lagi individu, Halimi, terlebih dahulu melaporkan F atas dakwaan penipuan berkaitan agama.
Dalam laporan berasingan, Halimi mendakwa mengalami kerugian sehingga 1.3 bilion rupiah (RM291,778) selepas dipercayai diperdaya dengan tawaran memanjangkan usia dan membeli ‘tiket ke syurga’.
Bagaimanapun, F menafikan semua tuduhan tersebut, termasuk dakwaan bahawa dirinya pernah mengaku sebagai Imam Mahdi atau meminta wang daripada pengikutnya.
Beliau mendakwa wang yang dimasukkan ke akaun bank atas namanya sebenarnya diuruskan oleh bapanya yang kini sudah meninggal dunia.
Peguam F, Bachtiar Pradinata turut memaklumkan pihaknya bercadang membuat laporan balas terhadap pengadu atas dakwaan mencemarkan nama baik.
Sementara itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Bangkalan, Eriek Triyasworo mengesahkan siasatan masih dijalankan dan beberapa individu telah dipanggil memberikan keterangan.
Setakat ini, dakwaan penipuan tersebut masih dalam siasatan dan belum diputuskan oleh mahkamah. – Agensi



