Isteri orang, duda anak satu ditangkap khalwat

Isteri orang, duda anak satu ditangkap khalwat

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Alasan sakit dan ingin berehat di bilik hotel adalah alasan biasa diberikan pasangan bukan mahram apabila mereka ditangkap berkhalwat oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Semalam, seorang duda anak satu yang juga warga Singapura mendakwa sedang demam dan mahu berehat di bilik sebuah hotel di daerah ini, bagaimanapun akhirnya ditahan kerana didapati turut ditemani seorang wanita yang bukan isterinya di dalam bilik hotel berkenaan.

JAINJ dalam satu kenyataan berkata, penahanan dibuat selepas pihaknya membuat pemeriksaan di sebuah bilik hotel di daerah ini kira-kira jam 4 petang semalam.

“Tiba di pintu bilik, penguat kuasa mengetuk pintu dan ia dibuka lima minit kemudian oleh seorang lelaki yang memakai seluar panjang dan berlengeng.

“Penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk ke dalam bilik untuk pemeriksaan lanjut. Pintu tandas ketika itu bertutup dan penguat kuasa bertanya kepada lelaki berkenaan siapa di dalam dan lelaki itu berkata kawannya tanpa beritahu lelaki atau wanita.

“Penguat kuasa ketuk pintu tandas dan dibuka seminit kemudian oleh seorang wanita yang berseluar panjang dan t-shirt lengan panjang. Mereka mengaku tiada hubungan mahram dan bukan suami isteri,” katanya.

Menurut JAINJ, lelaki dan wanita itu berusia 30-an dengan lelaki berstatus duda anak satu, warga Singapura serta bekerja di Singapura, manakala wanita berstatus isteri orang dan bekerja di daerah ini.

Katanya, hotel disewa atas nama wanita dengan bayaran lebih RM200, namun si lelaki kemudian mengaku duit itu dibayar olehnya.

“Hasil siasatan mendapati mereka sudah berdua-duaan di dalam bilik hotel itu kira-kira satu jam. Lelaki katanya bercuti dan datang ke Johor Bahru dengan menaiki motosikal. Wanita itu pula baru pulang kerja, tetapi tidak balik ke rumah terus ke hotel berkenaan.

“Bilik hotel bukan hospital atau klinik untuk merawat orang sakit seperti yang diceritakan. Semua alasan ini sengaja direka walaupun tidak masuk akal. Hakikatnya, mereka berdua di hotel tanpa apa-apa ikatan,” jelasnya.

JAINJ berkata, pasangan bukan mahram itu sudah berkenalan kira-kira setahun di sebuah pasar raya di daerah ini dan wanita yang sudah bersuami itu dilihat pandai menyimpan rahsia berkenaan hubungan terbabit dari suaminya sekian lama.

Katanya, pasangan itu kemudian ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 kerana berkhalwat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top