AIDILFITRI adalah hari kegembiraan umat Islam selepas menjalani ibadah puasa. Namun, lebih daripada sekadar perayaan, Aidilfitri mempunyai makna mendalam sebagai simbol kemenangan melawan hawa nafsu dan syaitan. Kemenangan ini bukan hanya bersifat sementara tetapi seharusnya diteruskan dengan istiqamah dalam beribadah.
Aidilfitri sebagai hari kembali kepada fitrah. Perkataan Aidilfitri berasal daripada perkataan fitrah, yang bermaksud keadaan asal manusia yang suci. Ibn Rajab al-Hanbali dalam Lata’if al-Ma’arif menyebut bahawa Aidilfitri adalah hadiah daripada Allah kepada hamba-Nya yang berjaya menunaikan puasa dengan penuh keikhlasan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, akan diampunkan dosanya yang telah lalu” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Ini menunjukkan bahawa Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi anugerah bagi yang berjaya menyucikan diri daripada dosa lalu.
Seterusnya, Aidilfitri juga adalah simbol persaudaraan dan kejayaan umat Islam.
Aidilfitri memperkuatkan ukhuwah melalui ibadah seperti zakat fitrah, solat Aidilfitri dan amalan ziarah-menziarahi. Dalam Islam, kemenangan tidak hanya bersifat individu tetapi melibatkan seluruh masyarakat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Menjadi kewajipan Muslim untuk istiqamah selepas Ramadan. Ibadah tidak berhenti setakat Ramadan. Ramadan bukan bulan eksklusif beribadah, sebaliknya latihan untuk terus mengamalkannya sepanjang hayat. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu perkara yang pasti (kematian).” (Surah al-Hijr, ayat 99)
Al-Imam al-Nawawi dalam Riyadh al-Salihin menekankan amal yang paling dicintai Allah adalah yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit. Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: “Amalan paling dicintai Allah ialah amalan berterusan walaupun sedikit.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Salah satu tanda istiqamah selepas Ramadan adalah dengan meneruskan ibadah puasa melalui puasa enam hari pada Syawal. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diikuti dengan enam hari pada Syawal, maka dia seperti berpuasa sepanjang tahun” – (Hadis Riwayat Muslim). Menurut Imam al-Nawawi, puasa Syawal bukti seseorang tidak hanya beribadah kerana kewajipan Ramadan, tetapi kerana kecintaan kepada Allah.
Untuk mengekalkan istiqamah, umat Islam perlu sentiasa bermuhasabah dan memperbanyakkan istighfar. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka segera mengingati Allah lalu memohon ampun atas dosa-dosa mereka” – (Surah Ali ‘Imran, ayat 135). Imam Hasan al-Basri menyebut istiqamah adalah tanda keikhlasan dalam ibadah. Orang yang benar-benar ikhlas tidak akan meninggalkan ibadah selepas Ramadan.
Istiqamah merujuk keteguhan dalam beribadah dan menjalani kehidupan mengikut syariat Islam. Ia bukan hanya tuntutan semasa Ramadan tetapi kewajipan sepanjang hayat. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: ‘Tuhan kami ialah Allah,’ kemudian mereka tetap istiqamah, maka tidak ada ketakutan terhadap mereka dan mereka tidak bersedih hati” – (Surah al-Ahqaf, ayat 13). Untuk mencapai istiqamah, umat Islam perlu mengamalkan beberapa kaedah penting berdasarkan al-Quran, sunnah, dan pandangan ulama.
Pertama, memperkuatkan tauhid dan keimanan. Keimanan kepada Allah adalah asas istiqamah. Hubungan yang erat dengan al-Quran membantu menjaga hati daripada kelalaian. Ibn Qayyim al-Jawziyyah menegaskan al-Quran adalah pedoman utama untuk istiqamah.
Kedua, melakukan amal soleh berterusan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Amalan yang paling dicintai Allah ialah amalan dilakukan secara berterusan walaupun sedikit” – (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Menjaga solat fardu, solat sunat, serta puasa sunat membantu membentuk disiplin ibadah.
Ketiga, menjauhi dosa dan perkara yang melalaikan. Maksiat melemahkan hati dan menghalang istiqamah. Pergaulan yang baik membantu seseorang terus dalam landasan kebaikan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bersabarlah kamu bersama orang-orang yang menyeru Tuhan mereka.” (Surah al-Kahfi, ayat 28)
Keempat, bersabar dan bertawakal kepada Allah. Kesabaran adalah kunci istiqamah dalam menghadapi cabaran hidup. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya.” (Surah at-Talaq, ayat 3)
Kelima, muhasabah dan memperbanyakkan istighfar. Amalan muhasabah membantu menilai kekuatan iman dan ibadah. Rasulullah SAW bersabda: “Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah dan beristighfarlah, kerana sesungguhnya aku bertaubat 100 kali dalam sehari.” (Hadis Riwayat Muslim)
Tegasnya, Aidilfitri bukan sekadar hari bergembira, tetapi lambang kemenangan melawan syaitan dan hawa nafsu. Ia menandakan kejayaan kembali kepada fitrah yang suci. Namun, kemenangan ini tidak bermakna jika seseorang kembali kepada maksiat selepas Ramadan. Oleh itu, umat Islam wajib istiqamah dengan mengekalkan ibadah, menjauhi maksiat dan memperbanyakkan amal kebaikan.
Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan
© New Straits Times Press (M) Bhd




