Jempol: Pakatan Harapan (PH) menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyiasat dakwaan berkaitan pemberian wang kepada pengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sebarang siasatan terhadap sebarang dakwaan yang timbul sepanjang tempoh pilihan raya adalah di bawah bidang kuasa SPR.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi menegaskan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga bersedia membantu sebagai agensi teknikal bagi membantu membuat pengesahan serta forensik digital terhadap kandungan berkenaan.
“Siasatan perlu dilakukan oleh pihak SPR dalam tempoh pilihan raya dan agensi seperti MCMC sedia menjadi agensi teknikal membuat pengesahan ataupun melakukan forensik digital terhadap kandungan yang dimuat naik atau disebarkan.
“Mengenai dakwaan yang ditimbulkan, boleh rujuk dengan pihak SPR” katanya pada program minum petang bersama komuniti Felda Bukit Rotan Barat, hari ini.
Turut hadir calon PH DUN Jeram Padang, G Manivannan.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap penyebaran maklumat palsu yang dijangka meningkat menjelang hari pengundian.
Menurutnya, trend penyebaran kandungan tidak sahih termasuk video lama yang dikitar semula serta maklumat yang dipetik di luar konteks juga akan semakin ketara dalam tempoh beberapa hari terakhir sebelum pengundian, sekali gus berpotensi mempengaruhi pengundi.
“Saya lihat terutama dalam dua atau tiga hari terakhir akan ada trend penyebaran maklumat palsu, terutama melalui WhatsApp.
“Banyak maklumat yang tidak tepat, maklumat yang separuh jalan ceritanya ataupun video lama yang dikitar semula.
“Jadi saya minta semua pihak berhati-hati dan bersyak wasangkalah dengan sebarang maklumat yang diterima dalam WhatsApp, semak dahulu dengan media arus perdana atau organisasi media rasmi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




