Isu doktor bayangi kempen Senegal di Piala Dunia

Isu doktor bayangi kempen Senegal di Piala Dunia

Dakar: Presiden Persekutuan Bola Sepak Senegal, Abdoulaye Fall, mendedahkan doktor yang mengiringi skuad negara itu ke Piala Dunia 2026 tidak mempunyai kepakaran yang sesuai untuk menyokong keperluan pemain sepanjang kejohanan di Amerika Utara.

Menurut beliau, doktor terbabit adalah pakar sakit puan dan perkara itu hanya disedari ketika kejohanan sedang berlangsung, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain mengenai tahap sokongan perubatan yang diterima.

“Berdasarkan maklum balas yang saya terima, pemain tidak begitu yakin mereka mendapat sokongan secukupnya daripadanya,” kata Fall pada sidang media.

Beliau berkata, persekutuan kemudian mendapatkan khidmat pakar perubatan tambahan bagi meyakinkan pemain bahawa kebajikan dan kesihatan mereka diberi keutamaan.

“Kami perlu mendapatkan kepakaran yang benar-benar meyakinkan supaya pemain berasa lebih yakin kerana soal kesihatan mengatasi segala-galanya,” katanya.

Bagaimanapun, Persatuan Perubatan Sukan Senegal menolak dakwaan itu dengan menyifatkannya sebagai tidak berasas dan berunsur fitnah.

Menurut kenyataan persatuan itu, doktor berkenaan, Abderahmane Fediore, memiliki diploma kepakaran dalam bidang perubatan sukan dan biologi sukan daripada Fakulti Perubatan Universiti Cheikh Anta Diop.

Malah, beliau pernah mengetuai Jabatan Fisioterapi Hospital Fann serta berkhidmat sebagai doktor skuad kebangsaan Senegal sejak 2017, termasuk mengiringi pasukan ke tiga edisi Piala Dunia dan lima kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

Pada Sabtu lalu, Senegal memecat ketua jurulatih Pape Bouna Thiaw selepas menganggap prestasi hambar pasukan di Piala Dunia memerlukan perubahan.

Mereka pada awalnya diletakkan sebagai antara pencabar utama selepas menewaskan Maghribi pada final AFCON Januari lalu.

Namun, Senegal tewas dalam dua aksi pertama peringkat kumpulan kepada Perancis dan Norway sebelum mensia-siakan kelebihan 2-0 ketika berbaki lima minit menentang Belgium pada pusingan 32 terakhir, sebelum akhirnya tewas 2-3 selepas masa tambahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top