Dallas: Perancis menikmati kempen sempurna pada Piala Dunia 2026 selepas memenangi kesemua enam perlawanan setakat ini, namun cabaran seterusnya menentang Sepanyol pada separuh akhir awal pagi esok mampu menyaksikan mereka mengukir satu lagi pencapaian bersejarah.
Les Bleus hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk muncul sebagai pasukan kedua dari Eropah yang mencatat tujuh kemenangan berturut-turut di pentas Piala Dunia.
Sehingga kini, hanya Itali pernah melakar pencapaian itu menerusi rekod yang dicipta merentasi edisi 1934 dan 1938.
Rekod berkenaan bermula selepas Itali seri dengan Sepanyol pada suku akhir Piala Dunia 1934. Mengikut peraturan ketika itu, perlawanan ulangan perlu diadakan dan Itali menang 1-0.
Selepas itu, skuad Azzurri menewaskan Austria di separuh akhir sebelum mengatasi Czechoslovakia pada final untuk menjulang kejuaraan Piala Dunia pertama daripada empat gelaran yang dimiliki mereka.
Secara keseluruhan, Itali mencatat tujuh kemenangan berturut-turut merentasi Piala Dunia 1934 dan 1938, satu rekod yang masih belum dapat disamai oleh mana-mana pasukan Eropah sehingga hari ini.
Itali juga muncul negara pertama yang berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Dunia dengan memenangi dua edisi berturut-turut pada 1934 dan 1938.
© New Straits Times Press (M) Bhd




