am@hmetro.com.my
Tumpat: Seramai 107 kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) masih berlindung di lapan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga kini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, 102 daripada kanak-kanak itu menerima perintah interim di institusi JKM manakala selebihnya perintah tetap di bawah Seksyen 30(1)(d) Akta Kanak-kanak 2001.
Nancy berkata, seramai 448 sudah dijaga keluarga masing-masing manakala lima lagi di bawah jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS).
“Saya menasihati agar ibu bapa kepada kanak-kanak itu hadir mengambil anak masing-masing kerana difahamkan mula-mula ada yang ingin menuntut (anak) tapi mungkin ada yang nasihat mereka supaya jangan dituntut dulu sebab ada kaitan dengan tindakan kerajaan.
“Rasa itu tak adil sebab kita tak serahkan sebelum ini kerana menunggu laporan polis dan proses perundangan jadi saya sarankan kepada ibu bapa yang terbabit, datanglah kepada kita.
“Kita pun tak mahu jaga anak orang dan tiada ‘hidden agenda’ sebaliknya ingin membantu. Nak ambil anak orang bukan mudah lagipun ramai lagi anak di institusi kita yang perlu dijaga,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seramai 660 kanak-kanak diselamatkan dalam Op Global dengan 559 daripada mereka mendapat perintah mahkamah untuk penjagaan dan perlindungan di bawah JKM bermula Oktober hingga Disember tahun lalu.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, pihaknya mengenalpasti keluarga kanak-kanak yang belum dituntut itu dan ada yang berhubung namun enggan datang menuntut anak mereka atas alasan tersendiri termasuk bimbang ditangkap pihak berkuasa.
Menurutnya lagi, ibu bapa tidak perlu risau untuk datang mengambil anak mereka kerana mereka boleh berunding selain perlu hadir ke mahkamah untuk proses penyerahan anak masing-masing.
“Apa yang perlu adalah untuk kita serahkan kembali dan mereka (ibu bapa) perlu juga hadir ke mahkamah tapi bukan untuk ditangkap melainkan ada kesalahan dan itu polis yang uruskan.
“Datanglah berunding dengan kita apa yang jadi masalah sebenarnya, jangan menyalahkan kita (JKM) kerana kita bukan nak menangkap tapi melindungi keadaan mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




