MARANG: Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) masih dalam proses rundingan untuk memuktamadkan bentuk kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kedua-dua pihak sudah mengadakan rundingan dan akan disusuli beberapa siri pertemuan untuk mencari formula kerjasama yang dapat dipersetujui bersama.
Kata beliau, situasi di Melaka termasuk BN tidak memiliki sebarang kerusi Parlimen di negeri berkenaan perlu diambil kira dalam rundingan tersebut.
“Kita akan berusaha ke arah perpaduan Melayu dan Islam. Sebab itu kita masih dalam perundingan di Melaka. Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pun belum bubar. Kita akan runding dari semasa ke semasa dan kita usaha hendak menyatukan Melayu, nak selamatkan orang Melayu,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, hari ini.
Ditanya kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN mahu mempertahan 21 kerusi DUN yang dimenangi parti itu di Melaka, Abdul Hadi berkata, ia adalah kenyataan peribadi dan kedua-dua gabungan masih dalam rundingan.
Terdahulu, BN dilapor tidak akan menyerahkan kerusi yang dimenanginya pada PRN Melaka sebelum ini kepada mana-mana pihak pada pilihan raya negeri akan datang.
Ahmad Zahid berkata, pendirian itu ditetapkan bagi memastikan kerusi yang menjadi milik BN berdasarkan mandat rakyat terus dipertahankan.
PRN Melaka sebelum ini menyaksikan BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan, sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti besar.
Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata, BN dan PN mungkin mencapai bentuk persefahaman yang berbeza bagi menghadapi PRN Melaka meskipun kedua-dua gabungan itu mencatat kemenangan meyakinkan dalam PRN Negeri Sembilan.
Beliau berkata, walaupun BN menguasai 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka, gabungan yang diterajui UMNO itu tidak memiliki sebarang kerusi Parlimen di negeri berkenaan. – UTUSAN




