Rabat: Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) bermula di Maghribi awal pagi Isnin ini dengan tuan rumah bertekad menjuarainya namun risau tentang kecergasan bintang mereka, Achraf Hakimi.
Persoalan mengenai kemampuan Kapten Maghribi itu pulih daripada kecederaan dan masa depan kelab ikon Mesir, Mohamed Salah dijangka menjadi tumpuan dalam edisi AFCON kali ini, yang berlangsung sehingga 18 Januari.
Sekali lagi, AFCON tidak diadakan pada jadual asalnya kerana edisi-edisi terdahulu terpaksa dipindahkan akibat musim hujan di Afrika Barat, pandemik, konflik atau wabak Ebola.
Pengenalan Piala Dunia Kelab FIFA yang diperluaskan pada Jun dan Julai lalu memaksa Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) menunda kejohanan utama ini.
Mereka tidak boleh menunggu sehingga Jun depan kerana Piala Dunia, dan AFCON tidak lagi boleh diadakan pada Januari dan Februari kerana format baru Liga Juara-Juara UEFA.
Penyelesaian adalah dengan memulakan kejohanan pada Disember dan berlanjutan ke Tahun Baru, pada masa banyak liga Eropah yang tempat ramai bintang Afrika beraksi, berehat kecuali Liga Perdana Inggeris (EPL) yang terus beroperasi sepanjang musim Krismas.
Akibatnya, pemain seperti Bryan Mbeumo dari Manchester United mungkin terlepas enam perlawanan EPL jika Cameroon mara ke final.
Ini menjelaskan mengapa FIFA membuat keputusan lewat membenarkan kelab mengekalkan pemain sehingga 15 Dis sebelum mereka menyertai pasukan kebangsaan, bukannya seminggu lebih awal.
FIFA berkata keputusan itu dibuat atas semangat “solidariti ditunjukkan CAF untuk mengurangkan impak kepada pelbagai pihak,” tetapi ia menjejaskan persiapan pasukan yang bertanding.
Maghribi dilihat sebagai pilihan utama apabila mereka membuka kejohanan menentang pasukan kecil Comoros awal pagi Isnin di Prince Moulay Abdellah Stadium yang baharu, 69,000 tempat duduk, di Rabat.
Pasukan yang mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022 itu adalah yang terbaik Afrika apabila menduduki ranking FIFA ke-11, dengan rekod kemenangan dunia 18 perlawanan berturut-turut menjelang kejohanan.
Tekanan kini tertumpu pada negara yang hanya memenangi satu Piala Negara-Negara Afrika, pada 1976, ketika kejohanan lapan pasukan diadakan di Ethiopia.
Kecergasan Hakimi, Pemain Afrika Terbaik semasa ini mungkin menentukan keputusan.
Bek kanan Paris Saint-Germain itu belum bermain sejak terpaksa ditarik keluar menangis akibat kecederaan buku lali menentang Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara pada 4 November.
Maghribi juga akan mempamerkan beberapa stadium bertaraf dunia ketika menganjurkan AFCON buat pertama kali sejak 1988.
Prince Moulay Abdellah Stadium, yang juga akan menjadi venue final, adalah salah satu daripada empat stadium di Rabat.
Stadium besar 75,000 tempat duduk di Tangier akan menjadi lokasi separuh akhir, manakala perlawanan lain diadakan di Casablanca, Marrakesh, Agadir dan Fez, sebagai persediaan Maghribi menjelang Piala Dunia 2030, yang akan dianjurkan bersama Sepanyol dan Portugal.
Maghribi berhasrat mengikuti jejak Ivory Coast, yang menjuarai AFCON sebagai tuan rumah pada 2024.
Selain itu, pasukan Afrika Utara memenangi empat daripada lima edisi terakhir yang diadakan di rantau itu, termasuk kejayaan Algeria di Mesir 2019 dan Mesir sendiri di rumah pada 2006.
Masih belum dapat dipastikan sama ada masa depan Salah yang samar di Liverpool akan menjejaskan peluang Mesir meraih gelaran kelapan mereka.
Dengan Piala Dunia semakin hampir, Salah mungkin menumpukan perhatian untuk beraksi bersama negaranya. Diamasih belum menjuarai AFCON, setelah tewas dalam final 2017 dan 2022.
Sementara itu, Senegal, juara 2022 dan mempunyai skuad termasuk Sadio Mane dan Iliman Ndiaye, antara pencabar serius.
Nigeria pula berharap menebus kekecewaan terlepas Piala Dunia. Naib juara kali terakhir, Super Eagles akan diketuai oleh Ademola Lookman dan Victor Osimhen, yang digelar “penyerang terbaik dunia” oleh jurulatih Eric Chelle.
Algeria belum menang sebarang perlawanan AFCON sejak menjuarai pada 2019. Mereka diketuai Riyad Mahrez, tetapi pemain yang perlu diperhatikan ialah Mohamed Amoura, penjaring tetap Bundesliga untuk Wolfsburg.
Ghana dan Cape Verde layak ke Piala Dunia tetapi kedua-duanya tidak akan hadir di Maghribi.
© New Straits Times Press (M) Bhd

