Isu kerang mati, JPS tunggu laporan Jabatan Perikanan

Isu kerang mati, JPS tunggu laporan Jabatan Perikanan

bhnews@bh.com.my

BUKIT MERTAJAM: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang masih menunggu laporan siasatan daripada pihak Jabatan Perikanan berhubung penternak kerang di Kuala Juru, di sini, yang mendakwa projek mendalamkan muara sungai oleh agensi itu punca kerang diternak mati dan berbau busuk hingga menyebabkan kerugian lebih RM700,000.

Pengarahnya, Ir Shukri Muslim, berkata pihaknya meminta Jabatan Perikanan negeri menjalankan siasatan bagi mengenal pasti adakah punca sebenar ternakan kerang mati ada kaitan dengan projek dijalankan JPS seperti didakwa nelayan di situ.

“Kita ambil maklum aduan penternak kerang dan kini menunggu laporan daripada Jabatan Perikanan sama ada benar kerang itu mati akibat selut susulan projek dijalankan JPS.

“Jika betul perkara ini berlaku, kita akan mengambil tindakan seterusnya bagi mengatasi permasalahan ini,” katanya di sini, hari ini.

Difahamkan, projek berkenaan bermula September tahun lalu dan dijangka siap Khamis ini yang mana kali terakhir projek mendalamkan muara sungai dilakukan di situ sekitar tahun 2003.

BH semalam melaporkan penternak kerang di Kuala Juru mendakwa mengalami kerugian lebih RM700,000 ekoran ternakan kerang diusahakan mereka sejak Mac tahun lalu mati dan berbau busuk akibat pencemaran selut.

Pengerusi Persatuan nelayan Unit B, Kuala Juru, Bahari Edin berkata, penternak kerang terkejut apabila mendapati kerang berkenaan mati dan berbau busuk hingga tidak boleh dipasarkan langsung ketika mengutip hasil laut itu pada 12 Mac lalu di kawasan ternakan seluas 28.328 hektar.

Shukri berkata, projek mendalamkan muara sungai Juru itu diambil bagi mengatasi masalah sungai cetek di kawasan berkenaan dalam usaha memberi kemudahan kepada bot nelayan di situ, selain menyelesaikan masalah banjir akibat sungai cetek.

Beliau berkata, sebelum memulakan projek itu, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa penternak kerang dan mereka memberi laluan kepada JPS demi kepentingan nelayan serta penduduk di kawasan sekitar muara Sungai Juru.

“Kita juga turut mengadakan rundingan dengan kumpulan penternak kerang di Kuala Juru sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Noraisyah Abu Bakar berkata, pihaknya sudah membuat pemeriksaan dan siasatan di kawasan ternakan kerang hari ini.

“Kajian lebih terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kerang mati sama ada disebabkan selut atau sebaliknya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top