Isu ketulenan tandatangan jadi tumpuan

Isu ketulenan tandatangan jadi tumpuan

ajohari@bh.com.my

Putrajaya: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini memanggil pakar forensik dokumen tulisan tangan sebagai saksi pada perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Saksi pembelaan ke-26 itu, Tay Eue Kam, adalah saksi pakar yang membuat analisa perbandingan di antara tujuh dokumen membabitkan 1MDB yang dipertikaikan dengan 31 spesimen tandatangan Najib bagi menentukan kesahihannya.

Tujuh dokumen berkenaan termasuklah tiga Minit Mesyuarat 1MDB, surat daripada Menteri Kewangan kepada Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan surat kelulusan serta sokongan untuk 1MDB berhubung kemudahan pinjaman berjangka yang diatur oleh Deutsche Bank.

Pada prosiding hari ini, Eue Kam memberitahu mahkamah, hasil analisanya mendapati terdapat beberapa persamaan dan perbezaan pada tandatangan dikatakan milik Najib pada beberapa dokumen berkaitan 1MDB.

Bagaimanapun, pakar tulisan tangan daripada PHA Handwriting Analysis Sdn Bhd itu berkata, beliau tidak dapat menentukan kesahihan tandatangan terbabit kerana hanya menerima salinan dokumen daripada firma guaman mewakili Najib, Tetuan Shafee & Co bagi tujuan analisa.

“Apabila berurusan dengan dokumen yang disalin semua, kita tidak boleh menolak kemungkinan berlakunya keadaan tandatangan disalin dan ditampal, jadi perlu dibandingkan dengan salinan asal.

“Semua dokumen yang diterima adalah salinan dan pemeriksaan boleh dijalankan ke atas dokumen yang berkualiti, bagaimanapun terdapat kesukaran dalam mengenal pasti beberapa tulisan tangan yang kritikal bagi dokumen salinan yang tidak berkualiti,” katanya.

Saksi itu berkata, dokumen yang disalin semula kadang-kadang boleh direka.

Pihak pembelaan sebelum ini membangkitkan dakwaan bahawa tandatangan Najib pada beberapa dokumen 1MDB ditiru atau ditampal berikutan terdapat perbezaan antara satu sama lain.

Antara dokumen berkenaan ialah dokumen berkaitan dengan dengan kelulusan pinjaman berjumlah AS$975 juta oleh 1MDB dengan Deustche Bank Singapore.

Najib ketika membaca penyataan saksinya semasa membela diri turut mendakwa tandatangan dan tulisannya telah dipalsukan termasuk dalam kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Eue Kam berkata demikian pada prosiding bela diri Najib terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top