Isu kibar bendera negara luar, polis sudah rakam percakapan 3 saksi, penganjur kini di Bangkok

Isu kibar bendera negara luar, polis sudah rakam percakapan 3 saksi, penganjur kini di Bangkok

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis sudah merakam percakapan tiga saksi yang dipercayai terbabit dalam penganjuran sebuah acara keagamaan yang tular kerana mengibarkan bendera negara luar, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata, pihaknya juga sudah memanggil pulang penganjur acara yang difahamkan kini berada di Bangkok, Thailand untuk membantu siasatan.

“Kita sudah rakam percakapan tiga orang saksi bagi membantu siasatan dan saya akan ulas lanjut hanya selepas kita dapat merakam percakapan penganjur acara ini.

“Difahamkan, penganjur kini ada di Bangkok dan kita sudah berhubung dan minta balik segera supaya kita dapat rakam percakapan,” katanya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Sempena Perayaan Deepavali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, hasil siasatan awal, acara itu berlangsung di sebuah pusat beli-belah di Taman Sentosa di sini, 20 Oktober lalu.

“Pengibaran bendera itu berlaku di dalam bangunan pusat beli-belah itu dan bukan pada perarakan di jalan raya.

“Penganjuran acara ini tidak perlu permit polis, tetapi sudah mendapat kebenaran majlis (pihak berkuasa tempatan).

“Penugasan polis juga ada ketika itu iaitu untuk memantau perjalanan acara,” jelasnya.

Ditanya mengenai motif pengibaran bendera negara luar dalam acara itu, Kumar berkata, ia masih dalam siasatan.

“Mungkin juga yang terbabit (kibar bendera negara luar) sudah balik ke negara asal.

“Sehingga kini, siasatan masih dijalankan. Selepas selesai rakam percakapan semua saksi, kita akan rujuk kertas siasatan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, kira-kira 1,500 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat menghadiri rumah terbuka Deepavali IPK Johor itu yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Berkenan hadir ke majlis itu, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top