Isu pencemaran air Sungai Rasau selesai, LRA Wakaf Bunut kembali beroperasi

Isu pencemaran air Sungai Rasau selesai, LRA Wakaf Bunut kembali beroperasi

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Isu pencemaran air Sungai Rasau di Pasir Puteh sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Wakaf Bunut menutup operasi kini sudah selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan, Datuk Dr Izani Husin, berkata pencemaran berlaku hanya beberapa hari sahaja.

“Isu pencemaran air sungai berlaku disebabkan racun ikan namun selepas beberapa hari, air sudah boleh digunakan semula.

“Namun mengikut prosedur, kita perlu mengambil sampel air untuk dibuat ujian di makmal dan selepas seminggu sudah tiada apa-apa dan LRA Wakaf Bunut kembali beroperasi seperti biasa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Tabung Kebakaran di Kampung Kijang, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memaklumkan terdapat gangguan kualiti air mentah akibat pencemaran di muka sauk LRA Wakaf Bunut, Pasir Puteh, pada 11 April.

Menurut AKSB, atas faktor keselamatan dan keperluan semakan lebih terperinci, pihak SPAN memaklumkan loji tidak boleh beroperasi atau menghentikan tugas untuk sementara waktu.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Dr Izani berkata pihaknya sedang berusaha meningkatkan kecekapan bagi mengesan kebocoran paip air untuk memudahkan tindakan diambil.

Katanya, penghasilan air tidak berhasil (NRW) disebbakan tiga faktor iaitu kecurian, paip pecag dan meter tersumbat.

“Justeru, jika kita ada kecekapan untuk kesan lokasi paip yang bocor, tindakan lebih cepat dapat diambil.

“Sehingga kini sepanjang 3,200 kilometer (km) paip air dalam proses untuk ditukar bagi mengurangkan NRW dan sudah tentu ia mengambil masa yang lama.

“Ini kerana dalam tempoh setahun, kita hanya dapat melakukan penukaran paip sepanjang 150 km sahaja. Jadi, penting untuk kita tingkatkan skuad yang ada bagi mengesan paip bocor,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top