'Arwah Nas pekerja dedikasi, hubungan macam adik-beradik'

'Arwah Nas pekerja dedikasi, hubungan macam adik-beradik'

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kota Damansara: Penerbit Eksekutif TV Network, Jamil Hassan mendedahkan Allahyarham Nas Ahmad seorang individu yang sangat komited dan berdedikasi dalam kariernya.

Mereka pernah bergandingan dalam unit hiburan TV3 di mana Jamil adalah Penerbit Eksekutif program hiburan popular Melodi manakala Nas bertindak sebagai penerbit dan juga wartawan.

“Kalau nak cakap pasal Nas Ahmad, dia dan Melodi ibarat darah daging, sebati benar. Dia benar-benar membawa nama program itu dengan penuh semangat dan kebanggaan. Antara legasi besar yang dia tinggalkan ialah segmen ‘Terjah’.

“Ia bermula sebagai sebahagian daripada Melodi, tapi akhirnya berdiri sendiri sebagai sebuah program. Nas benar-benar menghidupkan segmen itu. Sampai bila kita sebut ‘Nas Terjah’, orang tahu siapa dia,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, di sini, hari ini.

Jamil berkata, Allahyarham tidak pernah gagal membawa watak dan peranan itu dengan penuh semangat dan profesionalisme.

“Dia sangat bersemangat dengan kerja dan sangat berdedikasi. Dia juga suka mendengar pendapat orang lain, menghormati hierarki, dan tak pernah menolak pandangan orang bawahan.

“Dalam pasukan kami, dia tetap beri ruang untuk semua bersuara, dan dia sendiri sentiasa menyumbang idea-idea yang segar, luar kotak, dan membina.

“Boleh kata, mana-mana program yang dia terbabit, pasti ada suntikan baru. Ada kelainan yang menjadikan program itu hidup dan berbeza. Itulah keistimewaan Nas dengan pemikiran yang kreatif dan inovatif,” katanya.

Menurutnya mereka pernah berselisih pendapat tetapi ia hanya berkisarkan soal kerja.

“Itu perkara biasa dalam kerja. Tapi ia tak pernah melampaui batas profesional. Hubungan kami bukan sekadar antara bos dan pekerja. Kami dah seperti adik-beradik. Walaupun dia sudah berpindah dari TV3 ke tempat lain, hubungan itu tetap erat.

“Kali terakhir saya jumpa dia adalah sebelum bulan puasa. Saya datang ke rumah dia, kami keluar, lepak di mamak, berbual-bual. Saya masih ingat momen itu.

“Ia sangat tenang dan mesra, seperti selalu sebab hubungan kami lebih daripada rakan sekerja. Kami dah macam keluarga,” katanya.

Jamil berkata, mereka memahami apabila mendapat tahu Nas sakit.

“Itulah perjalanan hidup yang Allah tetapkan. Tapi apa yang kami boleh buat, kami buat. Kami sentiasa hubungi dia, beri semangat, bantu setakat yang termampu.

“Nas tidak pernah dibiarkan bersendirian. Dia dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang sentiasa ada untuknya. Sampai ke akhir hayatnya.

“Itulah Nas Ahmad yang kami kenal, seorang sahabat, seorang pejuang seni dan wartawan yang luar biasa,” katanya.

Nas atau nama sebenar, Md Nasir Ahmad yang mempunyai masalah jantung sejak 2022, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Buloh pada jam 10 pagi, hari ini.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, selepas solat Zohor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top