Isu penceramah dakwa dikasari pegawai kaunseling ATM diselesai cara baik

Isu penceramah dakwa dikasari pegawai kaunseling ATM diselesai cara baik

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Isu seorang penceramah motivasi mendakwa dikasari oleh pegawai kaunseling Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah diselesaikan secara baik dan tidak sepatutnya berlaku.

ATM dalam kenyataan hari ini berkata, insiden itu membabitkan seorang penceramah motivasi yang dijemput sebagai fasilitator jemputan untuk berkongsi pengalaman di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Dewan Tun Templer di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, 8 November lalu.

“Insiden yang tular di media sosial itu membabitkan seorang pegawai kaunseling ATM dengan seorang fasilitator jemputan yang juga seorang pesara ATM.

“Fasilitator terbabit diundang oleh Cawangan Tenaga Kerja, Bahagian Perkhidmatan Anggota, Markas ATM (BPA-CTK) bagi menjayakan Sesi Ceramah Motivasi dan Perkongsian Pengalaman bersama Pegawai Kadet ALK pengambilan 2024.

“Insiden berlaku ketika sesi ujian psikologi dan kesihatan mental sedang dilaksanakan yang dikendalikan oleh pegawai kaunseling ATM terbabit,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama ATM berkata, perselisihan tercetus apabila berlaku gangguan teknikal pada sistem ujian dalam talian sehingga mengakibatkan kelewatan pada sesi seterusnya.

“Ketika itu berlaku gangguan teknikal pada yang tidak disengajakan menyebabkan sesi ujian itu berlanjutan sehingga melebihi masa yang ditetapkan.

“Maklumat kelewatan ini disampaikan kepada fasilitor jemputan terbabit secara lisan oleh pegawai koordinasi daripada BPA-CTK di dewan.

“Selepas hampir 20 minit menunggu fasilitator jemputan berkenaan menghampiri sendiri pegawai kaunseling ATM itu bagi mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya.

Menurut ATM, kelewatan itu menyebabkan sesi berkenaan tidak dapat dimulakan pada masa yang ditetapkan.

Fasilitator jemputan berkenaan khuatir tidak dapat menyelesaikan sesi ceramah berkenaan kerana perlu bergegas bagi memenuhi jemputan pada satu majlis yang lain.

“Susulan itu, berlaku insiden pertengkaran antara pegawai kaunseling ATM dan fasilitator jemputan berkenaan yang kemudiannya dileraikan oleh pegawai koordinasi dari BPA-CTK.

“Kemudian kedua-dua pihak terbabit membuat laporan polis secara berasingan,” katanya.

Menurut ATM insiden berkenaan hanyalah perselisihan faham antara kedua-dua pihak yang sepatutnya boleh dielakkan.

Katanya, ATM mengambil langkah bagi mengadakan pertemuan antara kedua-dua pihak bagi menjernihkan keadaan.

“Atas dasar semangat kekitaan dan setiakawan warga dan pesara ATM yang sentiasa meletakkan ATM sebagai lambang penyatuan, sesi pertemuan tersebut berakhir dengan penuh kemaafan.

“Kedua-dua individu terbabit bersetuju menarik semula laporan polis yang sudah dibuat sebelum ini,” katanya.

Terdahulu media melaporkan seorang penceramah yang juga pesara ATM membuat laporan polis selepas mendakwa diugut dan dikasari pegawai ATM pada satu program ceramah motivasi di Dewan Tun Templer, Kem Sungai Besi, di sini.

Mejar (B) Mohamad Qayyum Badaruddin, 56, mendakwa beliau dilemparkan dengan kata-kata kesat dan dikasari oleh seorang pegawai kaunseling ATM ketika hadir memberi ceramah kepada pegawai kadet ALK UPNM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top