Isu RCI TH: SPRM masuk pejabat TH pagi ini, teliti dokumen

Isu RCI TH: SPRM masuk pejabat TH pagi ini, teliti dokumen

mhafis@mediaprima.com.my

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memulakan siasatan terhadap dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji apabila menghantar lapan pegawai penyiasat ke ibu pejabat institusi itu bagi meneliti dokumen berkaitan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, tindakan itu dilaksanakan susulan saranan Perdana Menteri supaya agensi penguat kuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap laporan RCI yang dikeluarkan baru-baru ini.

Beliau berkata, SPRM turut menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti isu utama dan isu sampingan yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan.

“Untuk makluman semua, pihak kami telah pun bergerak masuk ke bangunan Tabung Haji pagi ini. Pasukan penyiasatan sudah mula melakukan siasatan pagi ini, di mana seramai lapan pegawai ke TH.

“Mereka mengenal pasti dokumentasi berkaitan dengan perkara yang ditekankan dalam RCI serta perkara yang berkait dengan siasatan kami,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Menurutnya, pasukan penyiasatan juga sedang mengenal pasti individu yang akan dipanggil bagi dirakam percakapan selepas meneliti senarai berkaitan mengikut prosedur ditetapkan.

Mengulas sama ada pengurusan tertinggi Tabung Haji termasuk bekas pengerusi akan dipanggil, beliau berkata, siasatan tidak dihadkan kepada mana-mana tempoh tertentu.

Sebaliknya, katanya, siasatan akan dijalankan berdasarkan penemuan dan syor yang dikemukakan dalam laporan RCI.

“Fokus siasatan adalah untuk meneliti sama ada terdapat unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa ataupun ketidakberesan berdasarkan Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Mana-mana individu yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan siasatan akan dipanggil untuk dirakam percakapan mengikut proses yang ditetapkan,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan SPRM dalam kenyataan memaklumkan pasukan itu diketuai oleh Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar.

Menurut SPRM, pasukan itu akan meneliti sebarang isu perundangan melibatkan unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa atau pengubahan wang haram mengikut Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) atau kesalahan yang berkaitan.

Laporan RCI mengenai TH yang dimuat naik di portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semalam antara lain mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti bagaimana keputusan pelaburan yang lalu dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.

Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 itu turut menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.

RCI berkenaan mendapati wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top