am@hmetro.com.my
Melaka: Tiada kompromi terhadap pemandu warga asing (PeWA) yang melanggar undang-undang apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka menyita 40 kenderaan dalam Ops PeWA yang dijalankan di sekitar Limbongan dan Malim, Selasa lalu.
Dalam operasi selama lima jam bermula 6 pagi itu, sebanyak 151 kenderaan diperiksa dengan 193 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, kenderaan disita membabitkan 34 motosikal dan enam kereta.
Beliau berkata, operasi itu bertujuan memastikan setiap pemandu yang menggunakan jalan raya memiliki lesen memandu sah serta mematuhi semua peruntukan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Antara kesalahan dikesan ialah memandu tanpa lesen memandu sah, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans yang sah.
“Selain itu, kami turut mengesan dua kes penyalahgunaan LKM bagi membawa barangan niaga iaitu sayur-sayuran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, daripada keseluruhan notis yang dikeluarkan, 40 membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 64(1), diikuti 131 notis P(22), manakala masing-masing 11 notis bagi PG1 dan Seksyen 61(1).
Siti Zarina berkata, pemeriksaan itu membabitkan 40 individu warga asing, terdiri daripada 12 warga Rohingya, 10 warga Pakistan, tujuh warga Indonesia, lima warga Bangladesh, empat warga Myanmar dan dua warga India.
Beliau berkata, bermula 1 Januari hingga 28 Julai lalu, JPJ Melaka memeriksa 582 kenderaan yang dipandu warga asing.
“Daripada jumlah itu, 404 kenderaan diambil tindakan, membabitkan 401 sitaan serta pengeluaran 1,012 notis atas pelbagai kesalahan.
“Operasi ini bukan bertujuan menyasarkan mana-mana kumpulan tertentu, sebaliknya bagi memastikan setiap individu yang memandu atau menunggang di jalan raya mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Menurutnya, tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan sehingga boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
Ops PeWA itu dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




