PUTRAJAYA – Malaysia dan Thailand terus mempergiat rundingan teknikal melalui saluran rasmi antara pihak berkuasa kompeten (Competent Authority-CA) kedua-dua negara bagi menyelesaikan isu perdagangan siakap dan udang secara konstruktif, sekali gus membuka laluan kepada perdagangan yang lebih seimbang.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, rundingan yang sedang berlangsung memberi tumpuan kepada usaha memperhalusi keperluan teknikal bagi memudah cara perdagangan tanpa menjejaskan aspek biosekuriti, keselamatan makanan dan kesihatan haiwan akuatik.
Menurutnya, Malaysia melihat proses berkenaan sebagai penyelarasan teknikal antara pihak berkuasa kompeten kedua-dua negara, bukannya pertikaian perdagangan.
“Pendekatan yang diambil adalah berasaskan sains, pengurusan risiko dan kepentingan bersama bagi memastikan hubungan perdagangan perikanan terus berkembang secara adil, telus dan saling menguntungkan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Bagi perdagangan udang, beliau berkata, Malaysia telah melengkapkan penilaian awal terhadap maklumat yang dikemukakan Thailand serta mengemukakan 35 soalan teknikal bagi mendapatkan penjelasan lanjut sebelum penilaian risiko dimuktamadkan.
Katanya, bagi perdagangan siakap pula, kedua-dua negara sedang memperhalusi beberapa keperluan import termasuk aspek pensijilan, keselamatan makanan dan pengurusan risiko bagi memudah cara perdagangan.
Dalam rundingan itu, Malaysia turut mengemukakan beberapa cadangan bagi memperkukuh kerjasama teknikal termasuk penyelarasan keperluan pensijilan, pengukuhan sistem kebolehkesanan (traceability), perkongsian data saintifik serta mekanisme pemeriksaan yang lebih berasaskan risiko.
“Malaysia juga berharap pendekatan tersebut dapat membuka ruang kepada semakan semula keperluan pensampelan 100 peratus terhadap pengeksport siakap yang mempunyai rekod pematuhan yang baik serta penerokaan mekanisme seperti green lane bagi ladang yang memenuhi standard keselamatan makanan dan biosekuriti,” jelas beliau.
Dalam perkembangan sama, Adnan memaklumkan Malaysia turut membangkitkan isu sekatan import udang Malaysia ke Thailand yang berkuat kuasa sejak 2017 dan berharap perkara itu dapat diselesaikan melalui pendekatan teknikal yang sama.
Langkah itu, menurut Adnan, penting bagi mewujudkan akses pasaran yang lebih seimbang kepada industri akuakultur kedua-dua negara.
“Setiap keputusan yang diambil Malaysia adalah berasaskan penilaian risiko saintifik dan piawaian antarabangsa. Sebaik sahaja semua maklumat teknikal yang diperlukan diterima, proses penilaian akan dimuktamadkan dengan kadar segera bagi menyokong kelancaran perdagangan serta melindungi kepentingan industri akuakultur negara,” ujarnya.
Beliau berkata, Jabatan Perikanan akan terus bekerjasama dengan kementerian serta agensi berkaitan bagi memastikan akses pasaran eksport dapat diperkukuh, di samping membantu pengusaha meningkatkan pematuhan terhadap standard eksport, sistem kebolehkesanan dan amalan biosekuriti bagi memenuhi keperluan pasaran antarabangsa.
Thailand merupakan antara pasaran utama eksport siakap Malaysia dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM92.6 juta membabitkan 9,286 tan metrik pada 2024, manakala sehingga 2025 nilai perdagangan direkodkan sebanyak RM42.6 juta melibatkan 4,320 tan metrik.
Malaysia yakin kerjasama erat antara pihak berkuasa kompeten kedua-dua negara akan terus memperkukuh hubungan perdagangan perikanan yang stabil, berasaskan risiko dan saling menguntungkan dalam jangka panjang.
Terdahulu, kedua- dua negara mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan isu tertunggak dalam sektor perikanan, terutama berhubung akses pasaran, dengan mempercepatkan pelaksanaan memorandum persefahaman (MoU) berkaitan dalam tempoh seminggu lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media bersama rakan sejawatnya, Anutin Charnvirakul berkata persetujuan itu dicapai hasil komitmen kedua-dua menteri bertanggungjawab dalam sektor berkenaan bagi memastikan penyelesaian isu terbabit dapat dilaksanakan tanpa berlengah.



