PONTIAN – Timbalan Setiausaha DAP, Hannah Yeoh menyeru pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk kembali berkhidmat di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Beliau berkata, DUN Pekan Nanas memerlukan seorang wakil rakyat yang bukan sahaja memberi perkhidmatan kepada penduduk malah mampu membawa suara rakyat secara berkesan di DUN Johor.
Hannah berkata, tugas seorang Ahli DUN (ADUN) melangkaui khidmat kepada masyarakat kerana mereka bertanggungjawab memperjuangkan isu dan projek di kawasan berkenaan, selain mempunyai akses kepada kementerian dan agensi kerajaan bagi mempercepatkan penyelesaian masalah rakyat.
“(Calon PH bagi DUN Pekan Nanas) Yeo Tung Siong merupakan calon berpengalaman serta memahami saluran dan agensi yang perlu dirujuk bagi menyelesaikan isu rakyat. Saya yakin beliau akan berkhidmat secara adil tanpa melihat fahaman politik penduduk,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, PH tidak mengambil mudah sokongan yang diterima sepanjang tempoh berkempen kerana peluang kemenangan di kerusi berkenaan masih banyak bergantung kepada peratusan keluar mengundi.
Beliau berkata, walaupun sambutan terhadap ceramah dan kempen PH dilihat semakin menggalakkan, ia bukan jaminan kemenangan memandangkan ukuran sebenar hanya dapat dilihat melalui jumlah pengundi yang hadir menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian esok.
“Kalau peratusan keluar mengundi tidak memberangsangkan memang sukar untuk kita jangka. Kita tahu bukan senang untuk menang di sini.
“Sebab itu saya menyeru semua yang mahu memberi peluang kepada PH berkhidmat semula di DUN Pekan Nanas supaya keluar mengundi dan balik mengundi. Masih ada masa untuk merancang perjalanan pulang,” katanya.
Sementara itu, Tung Siong turut hadir pada sidang media itu berkata kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 dan 2018 dicapai ketika peratusan keluar mengundi melebihi 80 peratus, manakala keputusan pada PRN Johor 2022 menyaksikan peratusan keluar mengundi sekitar 60 peratus.
“Jadi buat masa ini kita tidak boleh membuat andaian. Apabila kita melihat peratusan keluar mengundi esok, kita akan dapat menilai peluang kemenangan PH di DUN Pekan Nanas,” katanya.
DUN Pekan Nanas menyaksikan saingan satu lawan satu antara Yeo dan penyandang kerusi itu, Tan Eng Meng daripada Barisan Nasional (BN). – Bernama



