Isu ugutan proksi media Israel: Keselamatan Haroqs dan ahli keluarga menjadi keutamaan.

Isu ugutan proksi media Israel: Keselamatan Haroqs dan ahli keluarga menjadi keutamaan.

SEPANG: Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan salah seorang aktivis GSF 2.0 rakyat Malaysia, Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali sebagai aktivis Haroqs, 26, menerima ugutan menerusi proksi media Israel, Mossad Commentary.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, perkara itu telah pun dimaklumkan kepada kerajaan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Susulan itu, katanya, beliau dimaklumkan kerajaan telah mengambil langkah susulan bagi memantau keselamatan Haroqs serta ahli keluarganya.

“Kebimbangan itu bukan sahaja terhadap keselamatan Haroqs di luar negara, malah ibunya yang berada di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa Malaysia akan meminta pihak Turkiye membantu memantau situasi itu memandangkan negara berkenaan mempunyai keupayaan risikan serta hubungan diplomatik berkaitan.

Sani Araby berkata, ahli keluarga Haroqs juga telah dimaklumkan mengenai ancaman serta ugutan itu dan tindakan susulan berkaitan keselamatan sudah dibuat.

Ditanya sama ada Haroqs adalah antara rakyat Malaysia yang mengalami cedera teruk ketika ditahan tentera rejim Israel baru-baru ini, Sani Araby berkata, beliau tidak dapat mengesahkan perkara itu.

“Kami hanya dimaklumkan keadaan Haroqs ketika ini stabil namun belum dapat disahkan tahap kesihatannya sehingga pemeriksaan lanjut dilakukan di Turkiye.

“Laporan kesihatan itu penting sebagai bukti sekiranya wujud kecederaan atau penderaan fizikal sepanjang misi tersebut.

“Setakat ini, terdapat maklumat awal berhubung dakwaan penderaan fizikal termasuk insiden pukul dan masalah sesak nafas melibatkan beberapa peserta, namun pengesahan lanjut hanya boleh dibuat selepas pemeriksaan klinikal dijalankan,” katanya.

Sebelum ini, Haroqs didakwa diugut menerusi akaun media sosial dipercayai proksi Israel, ‘Mossad Commentary’ menggunakan platform X.

Hantaran itu berkongsi ayat “If you know his mother, please tell her he is okay…” beserta paparan gambar Haroqs.

Naratif yang dikongsi itu seolah-olah cuba bawa mesej bahawa individu (Haroqs) itu selamat, tetapi dalam masa sama menyebut ibunya dan ini boleh ditafsir sebagai mesej psikologi serta provokatif.

Sebelum ini, kapal dinaiki Haroqs bersama seorang lagi rakyat Malaysia dikenali sebagai Chin iaitu Alcyone adalah kapal terakhir dipintas tentera rejim Israel ketika dalam pelayaran ke pantai Gaza dua hari lalu.-UTUSAN

Scroll to Top