Isuzu Malaysia sumbang 11 trak untuk pendidikan teknikal

Isuzu Malaysia sumbang 11 trak untuk pendidikan teknikal

PETALING JAYA: Isuzu HICOM Malaysia Sdn. Bhd. (IHM) menyerahkan 11 buah trak Isuzu kepada tujuh institusi vokasional dan teknikal di Pahang dan Terengganu.

Sumbangan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam menyokong pembangunan kemahiran teknikal di kalangan pelajar. Majlis penyerangan sumbangan berlangsung di IHM, Pekan, Pahang.

Program CSR itu juga menyokong usaha kemampanan IHM dengan memanjangkan kitaran hayat kenderaannya, mengurangkan pembaziran, dan menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi jangka panjang melalui pendidikan dan pembinaan kemahiran.

Trak-trak tersebut terdiri daripada model Isuzu ELF dan FORWARD yang akan diguna semula sebagai kenderaan latihan praktikal, bagi menyokong pembelajaran secara hands-on dalam bidang kejuruteraan automotif, struktur komponen, penyelenggaraan kenderaan, dan latihan pemanduan, selaras dengan usaha kerajaan dalam memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ketua Pegawai Eksekutif IHM, Koshi Yamaguchi berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen syarikat yang menjangkaui perniagaan terasnya untuk menyumbang kepada komuniti yang lebih luas.

“Amalan perniagaan yang bertanggungjawab diintegrasikan ke dalam operasi IHM sebagai sebahagian daripada komitmen luas kami terhadap masyarakat. Melalui inisiatif ini, kami sasar untuk menyumbang kepada pembangunan bakat berkemahiran sambal menyokong pertumbuhan industri automotif dan pengangkutan di Malaysia.

“Kami yakin bahawa kenderaan kami akan meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar melalui pendedahan praktikal dan membantu membina keupayaan yang relevan dengan keperluan industri,” katanya.

Institusi penerima bantuan tersebut adalah Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) dan Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC) di Kuantan; Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di Dungun; dan GIATMARA, Kolej Komuniti Pekan, Institut Kemahiran MARA Tan Sri Yahya Ahmad, dan DRB-HICOM University of Automotive Malaysia (DHU) di Pekan.

Naib Canselor DHU, Dr. Sharoul Jambari yang mewakili institusi penerima mengucapkan terima kasih kepada IHM atas inisiatif tersebut.

“Sumbangan ini akan meningkatkan pengalaman pembelajaran secara langsung untuk pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi kami selaku penerima bantuan. Bagi DHU, trak-trak tersebut mengukuhkan lagi penekanan kami terhadap TVET, serta komitmen kolektif kami untuk menyampaikan kursus dan program yang memenuhi keperluan industri yang sentiasa berkembang,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top