IPOH – Perikatan Nasional (PN) Parlimen Taiping menyifatkan tindakan menyunting imej wanita Cina memakai tudung menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai satu penghinaan terhadap sensitiviti agama dan maruah wanita Muslim.
Penyelarasnya, Maizatulazwa Abdul Rahim berkata, perbuatan tersebut bukan sahaja tidak sensitif, malah mencerminkan sikap segelintir ahli politik yang sanggup memperalatkan identiti kaum bagi menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat, khususnya menjelang pilihan raya.
Menurutnya, tindakan yang didakwa dilakukan oleh pemimpin politik itu juga menimbulkan persoalan terhadap keikhlasan parti berkenaan dalam menghormati sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam.
“Penggunaan imej berhijab sebagai propaganda atau modal politik sempit terutama dengan cara sindiran yang melibatkan sensitiviti agama harus dihentikan.
“Ini asas untuk mengekalkan keharmonian dan mengelakkan ketegangan antara kaum Adakah pemakaian tudung itu sesuatu yang hina dan kelakar bagi mereka?” soalnya dalam satu kenyataan media di sini pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran kandungan berunsur provokatif seperti itu, termasuk meneliti semula penyalahgunaan teknologi AI yang boleh dimanipulasi untuk menyebarkan kebencian dan fitnah.
“Penggunaan teknologi AI tanpa kawalan sehingga disalah guna untuk tujuan propaganda dan ketegangan keharmonian kaum perlu ditangani segera,” ujarnya.
Terdahulu, tular hantaran di media sosial didakwa dimuat naik seorang Ahli Majlis lantikan MCA memaparkan imej sekumpulan wanita yang telah disunting dengan pemakaian hijab.



