zahratulhayat@nst.com.my
Gerik: Isyarat asap yang dihasilkan berjaya menemukan enam individu yang dilaporkan hilang dalam ekspedisi Trans Gerah selepas dikesan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menerusi tinjauan udara.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, lokasi kesemua mangsa dipercayai berada kira-kira sejauh sejam perjalanan dari Kem Kulim.
“Berdasarkan tinjauan udara, mangsa dilihat membuat isyarat asap dengan anggaran lokasi mereka berada kira-kira satu jam dari Kem Kulim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebuah helikopter Mi-17 JBPM dari Pangkalan Udara Subang tiba di Pos Kemar pada jam 4.30 petang sebelum taklimat berhubung situasi terkini dan pelan operasi dijalankan.
Menurut Sayani, seramai 11 SAR terdiri daripada JBPM, empat anggota polis, seorang pegawai Jabatan Perhutanan dan seorang ahli Persatuan Malim Gunung (MGP) diturunkan ke Kem Kulim.
“Operasi SAR turut dibantu oleh 14 ahli MGP yang memasuki kawasan berkenaan mengikut laluan pendakian, menjadikan jumlah keseluruhan anggota SAR di berhampiran lokasi mangsa seramai 25 orang,” katanya.
Sayani berkata, Jabatan Perhutanan turut menerima maklumat pada jam 5.15 petang bahawa kumpulan berkenaan telah menghantar mesej mengesahkan kesemua enam peserta selamat tiba di Gunung Bongok.
“Berdasarkan penilaian dan perbincangan antara JBPM dan Jabatan Perhutanan, serta mesej SMS terakhir yang diterima daripada kumpulan itu pada 1 September, kesemua enam individu berkenaan dipercayai menggunakan laluan dari Gunung Bieh ke Gunung Sepat, Gunung Belatoh, Kampung Agek, Gunung Bongok, dan Pos Kemar,” katanya.
Beliau menambah, pasukan SAR dan kesemua enam mangsa dijangka berkumpul di Kem Kulim malam ini.
“Sama ada pasukan SAR dan mangsa akan turun malam ini atau bermalam di Kem Kulim bergantung kepada keadaan mangsa serta situasi di lokasi.
“Perjalanan dari Kem Kulim ke Pos Kemar dianggarkan mengambil masa antara tiga hingga empat jam,” katanya.
Semalam, media melaporkan enam individu terputus hubungan selepas menyertai Ekspedisi Trans Gerah di Gunung Gerah dalam Hutan Simpan Kekal Lojing di Gua Musang.
Kumpulan berkenaan, yang terdiri daripada sepasang suami isteri, dua anak mereka, serta dua malim gunung, memulakan pendakian pada 29 Ogos.
Keluarga terbabit terdiri daripada Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, isterinya Siti Zulaikha Norizan, 39, serta dua anak mereka, Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raief Wan Ahmad, 9. Manakala dua malim gunung berkenaan ialah Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43.
Berita berkaitan:
Enam pendaki hilang di Gunung Gerah disahkan selamat
‘Saya bimbang ada yang cedera, jika tiada bantuan sukar untuk mereka keluar’ – Bapa
Trans GBB: Polis seru orang ramai salur maklumat keberadaan enam individu hilang
MGP pecah dua kumpulan, susur laluan berbeza cari 6 pendaki
SAR enam individu hilang di Gunung Gerah: Bomba laksana melalui tinjauan udara
Dua malim gunung ‘hilang’ di Trans GBB berpengalaman lebih 20 tahun
Kanak-kanak 9 tahun antara 6 hilang dalam pendakian Trans GBB
6 hilang di gunung Gua Musang mungkin tempuh laluan sukar – malim gunung
© New Straits Times Press (M) Bhd
