IU, Lee Jong-suk berpisah, jadual terlalu sibuk jadi punca

IU, Lee Jong-suk berpisah, jadual terlalu sibuk jadi punca

SEOUL: Hubungan cinta pasangan selebriti terkenal Korea Selatan, IU, dan Lee Jong-suk dilaporkan telah berakhir selepas empat tahun.

Perpisahan pasangan selebriti itu disahkan sendiri oleh pihak pengurusan masing-masing pada Jumaat.

Agensi Lee Jong-suk, Ace Factory, mengesahkan berita tersebut, namun enggan mengulas lanjut punca keretakan hubungan kerana menghormati privasi artis berkenaan.

Menurut kenyataan agensi itu, perkara tersebut melibatkan kehidupan peribadi Lee Jong-suk dan pihaknya berharap orang ramai dapat memahami keputusan mereka untuk tidak memberikan sebarang spekulasi.

Pada masa sama, EDAM Entertainment yang mewakili IU turut mengesahkan pasangan itu telah berpisah.

Agensi berkenaan memaklumkan bahawa kedua-duanya memilih untuk mengekalkan hubungan baik sebagai rakan sekerja.

Menurut laporan Dispatch pada Jumaat, hubungan mereka dipercayai sudah lama berakhir.

Jadual kerja yang terlalu padat bagi kedua-dua selebriti itu dikatakan menjadi faktor utama perpisahan tersebut apabila kesibukan masing-masing menyebabkan mereka semakin jarang bertemu.

IU dan Lee Jong-suk pertama kali bertemu pada tahun 2012 ketika sama-sama menjadi pengacara program muzik SBS Inkigayo.

Bagaimanapun, hubungan istimewa antara mereka hanya mula menjadi perhatian umum kira-kira sedekad kemudian.

Ketika menerima anugerah Daesang (Hadiah Utama) pada majlis MBC Drama Awards 2022 menerusi lakonannya dalam drama Big Mouth, Lee Jong-suk menyampaikan ucapan penuh emosi mengenai seorang individu yang banyak membimbingnya ke arah yang lebih baik serta membantunya mengatasi kebimbangan selepas menamatkan perkhidmatan ketenteraan.

Tidak lama selepas itu, identiti individu yang dimaksudkan disahkan sebagai IU sebelum kedua-dua agensi mengesahkan mereka sedang menjalinkan hubungan cinta.

Sepanjang empat tahun bersama, hubungan pasangan itu turut beberapa kali menjadi sasaran pelbagai spekulasi dan khabar angin sebelum akhirnya disahkan berakhir. -UTUSAN

Scroll to Top